KEMENANGAN dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Kedah 2023 menyuntik semangat pasukan robotik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah untuk melangkah ke kejohanan berprestij peringkat dunia.
Misi besar mereka kini adalah ke Olimpiad Robotik Dunia (WRO) yang akan berlangsung di Turkiye, hujung tahun ini.
Mentor dan Ketua Guru Penasihat Kelab Robotik SMKA Kedah, Ismail Salleh berkata, sasaran itu bukanlah mustahil untuk dicapai dengan usaha dan dedikasi tinggi ahli pasukan.
“Kami akan terus melipat gandakan usaha, latihan dan kreativiti untuk menghasilkan inovasi-inovasi baharu yang bermutu serta bermanfaat.
“Jika kami dapat muncul juara Kebangsaan pada tahun ini, maka impian ke WRO bakal menjadi kenyataan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Walaupun kelab itu baru diasaskan pada 2019, tetapi berjaya melakar pencapaian cemerlang dalam edisi NRC lalu apabila mengumpul masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa.
Tempat pertama diraih menerusi aplikasi hafazan, Smart al-Quran Memorization manakala pingat perak pula menerusi penghasilan sistem pemantauan cuaca.
Bukan itu sahaja, Smart al-Quran Memorization turut memenangi pelbagai kejohanan lain antaranya Pertandingan Idea dan Inovasi Perniagaan Antarabangsa 2023 anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di samping Pertandingan Inovasi Eureka Antarabangsa (IEIE) 2023.
“Hasil kesungguhan pelajar dalam pengaturcaraan, pasukan robotik sekolah dapat mengungguli NRC dan mewakili negeri ke peringkat Kebangsaan pada tahun lalu,” katanya.
Ismail yang juga Guru Cemerlang Hifz al-Quran berkata, bidang robotik mempunyai banyak manfaat termasuk membantu pelajar berfikir di luar kotak.
Dalam masa sama bidang berkenaan turut dapat menarik pelajar untuk menceburi aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang sebelum ini dilabel sebagai subjek susah.
“Matlamat saya adalah untuk merangsang dan mendedahkan pelajar pada dunia STEM di samping Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
“Dalam masa sama, pelaksanaannya selaras dengan Revolusi Industri 4.0 dan merupakan satu inisiatif yang kian mendapat tempat dalam kalangan pelajar,” katanya.
Terdahulu, Ismail berkata, minatnya terhadap robotik dipupuk sejak kecil lagi.
Biarpun tanpa latar belakang pengaturcaraan, tetapi guru agama ini sanggup menuntut ilmu itu demi membimbing pelajarnya.
Hasilnya, beliau pernah menggondol Anugerah Cikgu Juara Digital anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) 2023 dan meraih beberapa pengiktirafan antaranya Anugerah Guru Cemerlang SMKA Kedah dan Ikon Guru Inovasi Pendidikan Kebangsaan 2021.