Misi serampang dua mata di Terbuka Malaysia

Misi serampang dua mata di Terbuka Malaysia

PASANGAN beregu lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi diharap mampu mempamerkan kebangkitan dan mencipta keputusan positif di Terbuka Malaysia minggu depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kurang seminggu sahaja lagi Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 akan membuka tirai pada 9 Januari depan, ia bakal menjadi misi serampang dua mata buat kebanyakkan pemain negara, khususnya barisan pemain profesional.

Bukan sahaja cuba untuk melangkah sejauh mungkin demi mengejar mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, namun dalam masa yang sama cuba menutup episod duka tahun lalu yang menyaksikan satu demi satu daripada mereka kecundang awal di laman sendiri.

Tanggungjawab yang amat besar buat jurulatih negara, Rosman Razak bagi memulihkan semula semangat mereka yang dilihat bergelut terutamanya enam bulan terakhir pada musim lalu sehingga ada di antara mereka mengalami penurunan ranking yang mendadak.

2023 dilihat tahun yang penuh dengan suka dan duka buat kebanyakkan pemain negara, bermula dengan hampir kesemua daripada mereka disenaraikan dalam program sukan elit kebangsaan, ‘Road to Gold’ (RTG), tetapi kini hanya tinggal Ee Yi-dan Yew Sin sahaja yang menjadi satu-satunya pemain profesional yang kekal dalam program tersebut.

Atas kertas, undian buat para pemain negara di Terbuka Malaysia kali ini dilihat mencabar, menepati tahap kejohanan itu yang bertaraf Super 1000 di dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Begitupun, Rosman mahu mereka menjadikan kejohanan pertama di laman sendiri minggu hadapan sebagai pemangkin untuk bangkit semula, sekaligus pencetus momentum untuk mencipta keajaiban layak ke Sukan Olimpik Paris.

Sebagai kejohanan pembukaan untuk 2024, Rosman mahukan barisan anak buahnya bukan sahaja mempamerkan aksi memberangsangkan, namun melakar keputusan dengan baik memandangkan kebanyakkan mereka hanya mempunyai tempoh sehingga penghujung April sahaja untuk merebut peluang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Skuad profesional negara mengharungi kejohanan Terbuka Malaysia yang ‘kelam’ pada tahun lalu apabila kesemua mereka tersingkir awal, kecuali beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang tewas di peringkat suku akhir.

“Kalau atas kertas berdasarkan undian, saya boleh katakan sukar sebab rata-rata pemain profesional negara yang bertanding kali ini tidak diletakkan sebagai pemain pilihan, tetapi inilah realitinya yang kami perlu hadapi kerana ia disebabkan ranking mereka agak jatuh pada tahun 2023.

“Tetapi saya percaya jika para pemain mampu menunjukkan permainan mereka yang sebenar, tidak mustahil mereka mampu mencapai kemenangan tidak kiralah sesiapa pun lawan mereka,” jelas Rosman kepada Utusan Malaysia.

Edisi kali ini menyaksikan sebanyak lima beregu sahaja di bawah kendalian Rosman layak beraksi untuk kejohanan yang bertaraf Super 1000, dengan Ee Yi-Yew Sin akan bertarung dengan wakil Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han di pusingan pertama.

Biarpun beregu campuran mempunyai wakil lebih ramai, iaitu empat pasangan termasuk beregu kebangsaan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, namun semua mereka diundi menentang lawan yang mempunyai reputasi hebat.

Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing akan membuat perhitungan dengan pilihan ketujuh kejohanan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun, sementara Goh Soon Huat-Shevon Lai akan berentap dengan pasangan England, Gregory dan Jenny Mairs.

Chang Peng Soon-Cheah Yee See yang akan dikatakan bakal membuat penampilan terakhir di kejohanan ini sebelum bersara pula akan menentang Chang Ko Chi-Lee Chih Chen dari Taiwan.

Sementara itu, beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula terpaksa berdepan pasangan No. 16 dunia dari China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan di pusingan pertama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya