Padam kisah lama, lakari 2024 dengan cerita baharu.
Dalam sibuk merangka hala tuju kehidupan, ada segelintir yang masih yang gemar mengimbas momen cinta dan patah hati yang sudah berlalu sebagai tatapan umum di media sosial.
Normalkah mengimbau nostalgia atau ia petanda toksik dan tidak move on?
Pensyarah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berkata, melupakan pasangan bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, lebih-lebih lagi jika ia pernah membibitkan rasa cinta dan kasih sayang.
Katanya, segala kenangan, bermula daripada jatuh hati hinggalah ke tidakpuasan hati akibat ditinggalkan, lama-kelamaan kesemua itu akan ‘bersatu’ mencetuskan rasa marah, trauma, dendam dan kebencian.
“Sekiranya memori itu terus bersarang dalam pemikiran, ia boleh mengganas dan inilah antara faktor yang mendorong seseorang sukar move on dengan perhubungan lalu,” katanya kepada Seri ketika mengulas mengenai kecenderungan individu mengimbau nostalgia bersama bekas pasangan untuk tatapan umum di media sosial.
Mohammad Aziz Shah berkata, walaupun masing-masing sudah tidak berhubung, namun cerita lama itu boleh timbul semula akibat amarah, trauma, benci, dendam yang belum dibuang daripada pemikiran.
Sampai satu tahap, individu berkenaan sanggup buat apa sahaja untuk memburukkan, menjatuhkan dan mengaibkan bekas pasangan dan keluarga termasuk bergaduh dengan orang lain di sekelilingnya.
Provokasi netizen ledak amarah
Amarah dan dendam yang terbuku dalam hati boleh meledak disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah nasib malang yang menimpa diri diikuti masalah kewangan, cemburu melihat kebahagiaan bekas pasangan di samping persekitaran sama ada tekanan keluarga, rakan dan masyarakat.
Mohammad Aziz Shah berkata, provokasi daripada netizen di media sosial turut boleh menjadi faktor pencetus yang membuatkan psikologi empunya diri yang berkongsi di media sosial itu jadi tidak stabil.
Dalam usaha membantu, ahli keluarga atau kenalan rapat perlu memainkan peranan masing-masing untuk menyelamatkan individu yang tidak move on.
Lantaran, jika dibiarkan berlarutan, dikhuatiri golongan itu boleh jatuh ke dalam ‘lubang gelap’ atau kehibaan hingga sukar untuk bangkit semula.
“Keluarga dan kawan-kawan perlu cepat sedarkan individu ini tentang kesan buruk tidak move on.
“Apakah ini yang dimahukan mereka dalam hidup hingga hilang identiti dan mengulangi cerita sama setiap kali bangun daripada tidur,” katanya melontarkan persoalan.
Berdamai dengan kisah lalu
Rasa gembira, sedih, disukai dan dibenci itu adalah sesuatu yang normal buat insan bernama manusia.
Mohammad Aziz Shah berkata, apa jua ujian dan rintangan dihadapi, pandanglah ia dari sudut positif termasuk untuk mendidik seseorang agar menjadi lebih matang.
“Berdamailah dengan kisah lalu dan jangan terlekat dengan kesedihan atau kemarahan berpanjangan.
“Jadikan ia sebagai pengajaran, kemudian baiki diri dan nikmati kehidupan.
“Jangan merintih-rintih lagi kerana apa yang berlaku tidak boleh diputar kembali dan cari ilham bagaimana mahu move on,” katanya.
Jangan desak kesembuhan
Seseorang tidak akan pulih sepenuhnya daripada luka lama jika proses kesembuhan itu didesak atau dipaksa-paksa.
Sebaliknya, lalui dan nikmati proses itu secara semulajadi tanpa terlalu memikirkan untuk lekas keluar daripada kehibaan.
“Jangan pula mendesak diri untuk cepat sembuh. Percayalah dengan proses masa dan kemampuan diri.
“Pokok pasti akan berbuah jika dibaja dan disiram dengan konsisten, begitulah juga untuk seseorang move on daripada perhubungan lalu,” katanya.
Mangsa diam diri
Misi utama seseorang mendedahkan keburukan dan aib bekas pasangannya adalah untuk meraih kegembiraan.
Sehubungan itu, Mohammad Aziz Shah menyarankan mangsa dan keluarga agar mendiamkan diri dengan setiap pendedahan yang dibuat.
“Pemangsa akan jadi makin seronok jika bekas pasangan membalas setiap tuduhan-tuduhan itu dengan emosi marah atau sedih.
“Sebaik-baiknya jangan layan apa sahaja yang dikatakan dan ambil sikap berdiam diri sehingga isu itu reda,” katanya.
Awas, emosi berpanjangan dorong kemurungan, anxiety
Pergolakan emosi yang berpanjangan selepas perpisahan boleh menjejaskan prestasi kerja dan interaksi seseorang.Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Prof. Datuk Dr. Andrew Mohanraj berkata, jika terus berlarutan, gejala itu berisiko membawa kepada kemurungan dan anxiety.
Justeru, penting untuk seseorang memahami situasi tersebut bagi mendapatkan bantuan dan sokongan.
Antara gejala kemurungan ialah perasaan putus asa atau tidak berdaya, berat badan hilang atau bertambah akibat perubahan selera makan, tidur terlalu banyak atau sedikit di samping hilang keseronokan dan minat.
“Tanda-tanda lain adalah sentiasa rasa tidak dihargai, sedih atau kosong, keletihan dan kekurangan tenaga.
“Sampai satu tahap, individu ini akan mula berfikir tentang kematian atau bunuh diri,” katanya.
Andrew yang juga pakar psikiatri berkata, kekal sibuk dapat membantu seseorang mengatasi tekanan selepas patah hati.
“Walaupun golongan ini mungkin tertarik untuk termenung, tetapi dengan melakukan perkara yang membuatkan fikiran dan badan sibuk, sekali gus dapat menghalang daripada memikirkan hal-hal negatif.
“Fokuskan perhatian pada kerja atau hobi kerana ia dapat membantu memulihkan rasa kawalan sekali gus membuatkan diri lebih berkuasa dalam kehidupan.
“Di samping itu, fokus pada menjaga diri, hubungi rakan dan keluarga untuk mendapatkan sokongan, dan jangan teragak-agak untuk berbincang dengan pakar kesihatan mental jika gejala makin teruk,” katanya.
Cara lain memisahkan diri daripada kisah lalu adalah dengan melihat secara objektif apakah sifat hubungan itu sebenarnya.
“Hubungan tidak berakhir disebabkan salah kedua-dua pihak, sebaliknya ia terlerai kerana pasangan itu tidak sesuai antara satu sama lain.
“Memahami perkara yang salah atau tidak sesuai dalam hubungan lalu, dapat membantu membina perhubungan baharu yang lebih baik.
“Kenal pasti keperluan anda dan pasangan serta cari cara menyesuaikannya tanpa mencetuskan sebarang konflik,” katanya.