NEWPORT, Wales: Manchester United dipaksa bekerja keras sebelum menjinakkan kelab divisyen empat, Newport County 4-2 dalam aksi pusingan keempat Piala FA di Rodney Parade, awal pagi tadi.
Mendahului dua gol menerusi Bruno Fernandes dan Kobbie Mainoo ketika perlawanan memasuki minit ke-13.
Namun Newport bangkit menyamakan kedudukan sebelum babak pertama berakhir hasil ledakan Bryn Morris dan Will Evans untuk mengikat kedudukan 2-2.
Begitupun, bermula babak kedua, Antony kembali meniup semangat pemain Red Devils dan menamatkan kemarau jaringannya sejak April lalu selepas mengharungi kempen sukar dicemari dengan persembahan buruk serta pertuduhan keganasan domestik yang dinafikannya.
Rasmus Hojlund menoktahkan kemenangan United apabila dia menjaringkan gol pada masa kecederaan.
Kemenangan United hadir itu sehari selepas, Erik Ten Hag menafikan berlaku perbalahan antara dirinya dengan Marcus Rashford.
Ten Hag sebelum ini, menjelaskan ketiadaan Rashford dalam pasukan itu disebabkan sakit.
Bagaimanapun, laporan mendakwa penyerang England berusia 26 tahun itu berada di kelab malam di Ireland Utara pada petang Khamis, beberapa jam sebelum gagal menghadiri latihan pada Jumaat lalu.
“Ia satu masalah dalaman dan saya akan menanganinya,” ujar ringkas Ten Hag apabila ditanya berkaitan perkara itu.-AGENSI