PETALING JAYA: Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara mara ke separuh akhir Piala Dunia Hoki 5s 2024 selepas berjaya menumpaskan Trinidad & Tobago 5-4, sebentar tadi.
Aksi suku akhir itu berlangsung sengit dengan skuad negara ketinggalan pada awal permainan apabila Akim Toussaint meletakkan lawan di hadapan pada minit ke-6.
Bagaimanapun, Malaysia tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila kapten negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook meledak pada minit ke-9.
Keputusan 1-1 hanya bertahan seminit sebelum Trinidad & Tobago kembali di hadapan menerusi Mickell Pierre, namun Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran menjaringkan gol pada minit ke-12 untuk mengikat kembali kedudukan menjadi 2-2.
Aksi berbalas serangan menyaksikan Trinidad & Tobago kembali di hadapan menerusi Tariq Marcona pada minit ke-14 untuk menutup babak pertama dengan kedudukan 3-2.
Bersambung separuh masa kedua, Malaysia tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol penyamaan apabila Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee berjaya menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-17.
Gol berkenaan ternyata menjadi pembakar semangat skuad negara apabila berjaya menambah dua lagi jaringan menerusi Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin (m-22) dan Syarman Mat Tee (m-25).
Pada minit-minit terakhir perlawanan, Trinidad & Tobago berjaya merapatkan kedudukan dan berjaya meledak gol keempat menerusi Teague Marcano.
Perlawanan berakhir dengan keputusan Malaysia menang 5-4 dan akan bertemu Poland pada 1.30 pagi esok dalam aksi separuh akhir.
“Kami bermain habis- habisan dan percaya kepada kebolehan diri sendiri dalam aksi menentang Trinidad & Tobago.
“Dalam aksi menentang Poland kami akan bermain dengan taktikal peluang mungkin 50-50,”
kata pemain pertahanan Malaysia Mohd Kamaruzaman Kamarudin.- UTUSAN