BAITULMUQADDIS: Hospital di Gaza mengalami situasi tidak terkawal dan diibaratkan malapetaka selain beroperasi jauh melebihi kapasiti pada waktu perang Israel-Hamas yang berterusan.
Di Hospital Nasser, kemudahan kesihatan berfungsi terbesar di Gaza terletak di Khan Younis di selatan, kini beroperasi pada kapasiti 300 peratus, menurut Doktor Tanpa Sempadan, atau Médecins sans Frontières (MSF).
BOM TANPA BERI AMARAN
Seorang pakar bedah MSF berkata, tentera Israel mengebom di kawasan berhampiran hospital Selasa lalu tanpa arahan pemindahan terlebih dahulu menyebabkan orang ramai melarikan diri dan membahayakan keselamatan pekerja perubatan dan pesakit.
Ketua misi MSF untuk Palestin, Leo Cans berkata, keadaan kini menjadi malapetaka di Gaza.
“Terdapat terlalu ramai pesakit untuk dikendalikan oleh kakitangan.
“Pertempuran sangat dekat dengan kami. Kami mendengar banyak pengeboman di sekeliling, banyak tembakan di sekeliling,” katanya dalam satu kenyataan.
KEBANJIRAN PESAKIT
Sementara di Hospital Al-Shifa yang terletak di utara dan kini hanya merawat mangsa trauma kecemasan juga bergelut untuk menangani kebanjiran pesakit serta beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal.
Pegawai Kecemasan Kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Sean Casey berkata, kebanyakan pesakit trauma ketika mendapatkan rawatan.
“Jabatan kecemasan melihat ratusan pesakit sehari, kebanyakannya trauma, dengan hanya segelintir, lima atau enam doktor atau jururawat untuk menjaga pesakit-pesakit berkenaan,” katanya.
Casey, yang kembali dari penugasan selama lima minggu di Gaza menggambarkan puluhan ribu orang tinggal di dewan bedah, koridor dan juga tangga di Al-Shifa.
Bencana kemanusiaan sedang berlaku di Gaza, tambahnya.
“Kami melihatnya setiap hari di Gaza, semakin teruk dan keruntuhan sistem kesihatan hari demi hari dengan hospital ditutup, pekerja kesihatan melarikan diri serta mangsa terus datang ke hospital.
“Dan kekurangan akses kepada ubat-ubatan dan bekalan perubatan, kekurangan akses kepada bahan api untuk menjalankan jana kuasa hospital untuk memastikan lampu menyala, untuk memastikan mesin berfungsi,” kata Casey.
HANYA 16 HOSPITAL BEROPERASI
Daripada 36 hospital di Gaza yang berfungsi sebelum perang bermula Oktober lalu, hanya 16 yang terus beroperasi.
Timbalan Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Ted Chaiban berkata, sistem sanitasi yang buruk di Gaza menyebabkan kes cirit-birit di kalangan kanak-kanak kecil meningkat 4,000 peratus sejak perang bermula dengan 71,000 kes direkodkan dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
Selain itu, katanya, disebabkan kekurangan air dan makanan, beribu-ribu kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan.
“Sejak lawatan terakhir saya, keadaan berubah daripada bencana kepada hampir runtuh,” kata Chaiban.
PERANG TERHADAP KANAK-KANAK
UNICEF menyifatkan Gaza sebagai tempat paling berbahaya di dunia untuk kanak-kanak.
“Kami menyifatkan ini adalah perang terhadap kanak-kanak. Pembunuhan kanak-kanak mesti dihentikan segera. Daripada hampir 25,000 orang yang dilaporkan terbunuh di Gaza sejak permusuhan meningkat, sehingga 70 peratus dilaporkan adalah wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Rabu lalu, menurut Kementerian Luar Qatar, dua pesawat angkatan tentera Qatar yang membawa 61 tan bantuan mendarat di el-Arish, Mesir yang kemudiannya dipindahkan ke Gaza. –AGENSI