MIAMI: Seorang gitaris profesional mampu membuat persembahan di bilik pembedahan bulan lalu, memetik lagu Deftones ketika pakar berusaha mengeluarkan tumor dari otaknya.
Menurut portal UPI, persembahan Christian Nolen bukan sekadar untuk hiburan tetapi petikan gitar itu sebenarnya membantu membimbing pakar bedah otak semasa pembedahan yang sukar itu.
Pakar Bedah Saraf Otak dan Tumor, Dr. Ricardo Komotar berkata, dengan bermain gitar dan berada dalam keadaan sedar semasa pembedahan selama dua jam pada bulan Disember lalu, Nolen membantu doktor melindungi ketangkasan manualnya sambil mengeluarkan tumor sebanyak mungkin.
Komotar yang mengetuai pasukan pembedahan di Pusat Kanser Komprehensif Sylvester di Miami berusaha membuang tumor yang dipanggil glioma di lobus hadapan kanan otak Nolen, berhampiran kawasan yang mengawal pergerakan kidalnya.
“Rancangan kami ialah dia akan terjaga dan bermain gitar semasa kami mengeluarkan tumor itu.
“Kami sentiasa memeriksa untuk memastikan kami tidak mencederakan bahagian yang mengawal pergerakan tangan dan caranya adalah dengan melihat dia bermain gitar.
“Jarang sekai pakar bedah otak menggunakan kemahiran seperti bermain gitar sebagai ujian semasa pembedahan, tetapi pembedahan dalam keadaan sedar ini berlaku beberapa kali seminggu di pusat kanser ini,” jelas Komotar.
Nolen pada mulanya ditidurkan dan diletakkan dalam kedudukan sesuai untuk pakar bedah saraf mengakses lokasi tumor sebelum disedarkan semula apabila operasi itu mencapai tahap halus yang boleh membahayakan kemahiran motornya.
Ketika itu Nolen diberi gitar dan diminta bermain.
Selain membantu pakar bedah saraf mengelak bahaya semasa membuang tumor, pembedahan otak dalam keadaan terjaga mampu mengurangkan kadar komplikasi, rasa loya dan muntah serta mempercepatkan mobilisasi pada pesakit.