NEW YORK: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres merayu agar negara-negara penderma menjamin kesinambungan sumbangan terhadap Agensi Bantuan Pelarian Palestin (UNRWA).
Hal ini berikutan beberapa negara Barat menghentikan pembiayaan ke atas agensi itu kerana beberapa kakitangannya dituduh terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel.
Guterres dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sendiri berasa ngeri dengan tuduhan berkenaan.
“Tindakan yang didakwa menjijikkan ini mesti mempunyai kesan dan akibat.
“Walaupun saya memahami kebimbangan mereka (UNRWA), saya sendiri berasa ngeri dengan tuduhan ini. Saya sangat merayu kepada kerajaan yang menggantung sumbangan mereka, sekurang-kurangnya menjamin kesinambungan operasi UNRWA,” katanya.
Israel mendakwa beberapa kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan Hamas menyebabkan beberapa negara penderma utama menggantung pembiayaan mereka.
UNRWA dikatakan memecat beberapa kakitangan atas tuduhan Israel serta menjanjikan siasatan menyeluruh terhadap tuntutan itu manakala Israel berikrar untuk menghentikan kerja agensi itu di Gaza selepas perang.
Perbalahan berlaku di antara Israel dengan UNRWA selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Jumaat lalu yang mengarahkan Israel mesti menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai dalam konflik dan membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza.
Dalam pada itu, Guterres mengesahkan 12 kakitangan UNRWA disebut dalam tuduhan itu yang sedang disiasat oleh PBB.
Katanya, Sembilan dipecat, seorang mati, dan identiti dua yang lain sedang dikenal pasti.
Beberapa negara penderma utama termasuk Amerika Syarikat, Britain, Kanada dan Switzerland berkata kepada UNRWA, mereka akan menggantung sementara berikutan tuduhan berkenaan.
Hamas bagaimanapun membidas ancaman Israel terhadap UNRWA dan menggesa PBB dan pertubuhan antarabangsa lain supaya tidak menyerah diri kepada ancaman dan pemerasan.
Serangan Hamas pada 7 Oktober lalu mengakibatkan kira-kira 1,140 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan angka rasmi AFP.
Pejuang Hamas turut merampas kira-kira 250 tebusan dan Israel berkata kira-kira 132 daripada mereka kekal di Gaza, termasuk sekurang-kurangnya 28 tawanan yang mati.
Serangan tentera Israel pula membunuh sekurang-kurangnya 26,257 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza. -AFP