BAITULMUQADDIS: Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas mendedahkan tentera Israel melepaskan tembakan terus ke arah sebuah hospital di bandar selatan Khan Younis, di mana orang awam terperangkap di tengah-tengah pertempuran.
Satu kenyataan kementerian berkata, kereta kebal Israel itu menembak di tingkat atas bangunan pembedahan khusus dan bangunan kecemasan hospital Nasser.
Dalam kejadian itu, berpuluh petugas kesihatan dan pesakit dijangka cedera.
Tentera Israel memberitahu AFP bahawa mereka tidak mengetahui mengenai peristiwa itu apabila ditanya tentang tindakan menembak ke arah hospital berkenaan.
Khan Younis menjadi pusat pertempuran di antara pejuang Palestin dan tentera Israel yang bergerak ke selatan selama hampir tiga bulan serangan darat yang dilakukan mereka.
Kementerian kesihatan Gaza menuduh tentera Israel melumpuhkan kompleks perubatan Nasser, membahayakan nyawa kakitangan dan orang yang dipindahkan.
“Kakitangan perubatan tidak dapat mengendalikan kes serius dari kompleks perubatan Nasser ke hospital medan Jordan berdekatan, akibat pengeboman tanpa henti,” kata kenyataan kementerian itu.
Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, salah sebuah tempat perlindungannya di Khan Younis untuk orang yang dipindahkan diserang tentera Israel Isnin lalu.
“Sekurang-kurangnya enam orang kehilangan tempat tinggal, ada yang terbunuh dan ramai lagi cedera semasa pertempuran sengit di sekitar kemudahan itu, katanya yang menulis di aplikasi X.
Walaupun tentera Israel mengatakan tenteranya mengepung Khan Yunis, seorang jurucakap memberitahu AFP bahawa mereka tidak menyedari serangan di sekitar pusat perlindungan PBB pada Isnin lalu.
Ketika tentera Israel meneruskan serangan, lebih sejuta orang bersesak di Rafah yang bersempadan dengan sempadan Mesir.
Agensi kemanusiaan PBB menggambarkan penderitaan yang tidak dapat digambarkan di Gaza di mana angka kematian terus meningkat.
“Di Khan Younis, pertempuran semakin memuncak, memusnahkan kawasan awam dan meragut nyawa. Serangan terhadap penjagaan kesihatan terus meningkat,” tulis OCHA di X.
Sekurang-kurangnya 25,490 orang terbunuh semasa permusuhan di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut jumlah terkini daripada kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.
Peperangan itu meletus dengan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel. -AFP
caption
SEORANG petugas hospital memeriksa kerosakan di dalam bilik berikutan pengeboman Israel di hospital Nasser di Khan Yunis di selatan Gaza.-AFP
ORANG ramai memeriksa kerosakan di dalam bilik berikutan pengeboman Israel di hospital Nasser di Khan Yunis di selatan Gaza.-AFP