PETALING JAYA: Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dapatan kajian yang menyeluruh tersebut akan digunapakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.
Kata beliau, kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan yang akan dijalankan dalam masa terdekat.
“BHEUU menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap.
“Terdapat banyak negara yang mengamalkan parlimen berpenggal tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta untuk menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.
“Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
PENETAPAN
Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan, Satu rang undang-undang (RUU) fixed term parliament atau penetapan penggal Parlimen disaran diwujudkan agar pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) diadakan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu berkata, beliau membuat saranan tersebut demi menjamin kestabilan negara agar kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli-ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.
Bagaimanapun, cadangan tersebut dikritik oleh pemimpin-pemimpin pembangkang terutamanya apabila ia disifatkan sebagai langkah terdesak oleh kerajaan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pertukaran kerajaan di luar PRU dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di semua negara, dengan syarat pihak-pihak yang mencabar kerajaan dapat membuktikan sokongan majoriti yang diterimanya.
Bagaimanapun, Azalina Othman menafikan usaha penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap oleh Kerajaan Perpaduan adalah satu langkah terdesak.
“Sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi, dan memastikan kestabilan politik, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak tentu pada hari ini,” katanya. – UTUSAN