DALAM mengejar cita-cita dan matlamat hidup, terkadang kita lalai terhadap suatu aspek penilaian yang sedang dilakukan Allah SWT terhadap setiap niat dan pekerjaan hamba-Nya.
Penilaian Allah SWT yang berkaitan sejauh mana tujuan niat dan sesuatu pekerjaan dilaksanakan.
Segala urusan kehidupan insan berpaksikan sekeping hati dalam setiap jiwa manusia yang sentiasa merasai kewujudan Allah SWT dalam setiap masa dan keadaan.
Dari kesedaran ini terbinanya cetusan matlamat bahawa setiap pekerjaan datang daripada satu perasaan murni dan jiwa yang suci beriman kepada Allah SWT untuk mencapai kemanisan dalam keikhlasan beribadah.
Pada adatnya hasil daripada usaha keras penuh ketekunan membuahkan kejayaan duniawi berbentuk nilaian kewangan, harta benda dan pangkat kekayaan.
Namun, penilaiannya adakah semua kesenangan dunia, kekayaan dan kedudukan pangkat membawa kepada keberkatan yang akan berkekalan hingga ke akhirat.
Oleh yang demikian, keikhlasan dalam ibadah insan menjadi kayu pengukur kepada pencapaian kemanisan dalam keikhlasan beribadah kerana Allah SWT semata.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Ada tiga hal yang mana jika tiga hal itu ada dalam diri seseorang, maka insan tersebut akan merasakan manisnya iman.
Iaitu Allah SWT dan Rasulullah SAW lebih dicintai daripada selain dari keduanya: mencintai seseorang dengan tidak mencintainya kecuali kerana Allah SWT; merasa benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah SWT menyelamatkan darinya iaitu seperti bencinya jika dicampakkan ke api.(Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik).
Hadis ini menunjukkan terdapat tiga sifat yang mana ketika wujud dalam jiwa insan maka akan merasai kemanisan dalam keikhlasan beribadah.
Manisnya keikhlasan dalam iman dapat dinikmati ketika melakukan ketaatan kepada Allah SWT, ketenangan jiwa, ketenangan dalam hati dan kelapangan dada.
Firman Allah SWT bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran. Oleh itu hendaklah Engkau menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadat yang dilakukan hanyalah kerana-Nya. (al-Zumar:2).
Ayat ini jelas Allah SWT menuntut hamba-Nya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan diri dalam melakukan setiap ibadah kepada-Nya.
Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: Sesiapa mencintai kerana Allah SWT, memberi kerana Allah SWT dan menahan diri kerana Allah SWT, maka sesungguhnya dia telah mencapai kesempurnaan imannya. (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).
Keikhlasan dalam ibadah adalah urusan dalaman insan, dan ia rahsia daripada Allah SWT sehinggakan malaikat sekalipun tidak dapat menyingkap niat kita dalam setiap pekerjaan.
Ia ibarat semut hitam berjalan dalam kepekatan malam, di atas batu hitam yang tidak dapat dikesan.
TUGAS MALAIKAT
Tugas malaikat hanyalah mencatat perkara zahir terhadap perbuatan dan amalan manusia.
Oleh yang demikian, keikhlasan memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan amalan di sisi Allah SWT.
Ulama meletakkan tiga garis panduan supaya tiga sifat ikhlas itu sentiasa mekar dalam jiwa seseorang iaitu penguasaan ilmu pengetahuan, menjauhi sifat mazmumah dan memilih sahabat baik yang mencintai ilmu menjadi asas untuk mengecapi kemanisan dalam keikhlasan insan.
Dengan penguasaan ilmu pengetahuan yang sahih dapat membezakan antara suruhan Allah SWT dan laranganNya.
Dalam masa yang sama dapat memahami sifat-sifat terpuji dan keji di sisi Allah SWT.
Oleh kerana itu, ulama menukilkan ilmu kesufian seperti ilmu tasawuf yang memfokuskan amalan hati serta ciri-ciri amalan dan cara untuk mencapai keikhlasan kepada Allah SWT.
Begitu juga dengan mengambil pengajaran dari sirah Nabi SAW dan alim ulama akan memberi panduan dan contoh teladan kepada hamba untuk menelusuri kehidupan berpandukan sunnah baginda SAW dan amal ibadat yang baik.
Sifat mazmumah dari sifat-sifat negatif yang wajib dijauhi oleh hamba yang ikhlas dalam beribadah kepada Allah SWT.
Ini kerana dalam diri manusia terdapat ilmu, akal dan nafsu yang sentiasa menjadi cabaran kepada manusia untuk memilih keutamaan kedudukan ketiga-tiga konsep ini dalam mengemudi kehidupan harian.
Sifat mazmumah akan menggalakkan godaan iblis, jin dan syaitan menggoda jiwa manusia kerana ketika nafsu mengatasi ilmu dan akal manusia, maka kejayaan godaan jin, syaitan dan iblis dilihat berada di ambang gemilang golongan ini kerana berjaya memusnahkan jiwa dan semestinya menatijahkan pekerjaan yang tidak ikhlas.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Berkatalah iblis demi kemuliaanMu pasti aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali hambaMu yang ikhlas. (al-Sad: 82-83).
Jelaslah bahawa nilai keikhlasan yang tinggi pada hamba Allah SWT tidak akan disesatkan oleh iblis.
PENTING SAHABAT
Memilih sahabat baik dalam masa yang sama mencintai ilmu dan para ulama menjadi titik utama hamba menuju jalan Allah SWT redai bersama keikhlasan hati.
Bersahabat penting untuk seseorang bergantung dengan siapa sahabat yang disampingnya.
Syeikh al-Zarnuji dalam karangannya Ta’lim Muta’lim menulis tentang sahabat: Jangan kamu tanya tentang
diri seseorang, cukuplah kamu tahu siapa sahabatnya. Ini kerana setiap orang pasti mencontohi sahabatnya.
Apabila sahabatnya derhaka, maka segeralah menjauhinya dan begitu sebaliknya.
Diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari r.a beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Perumpamaan seorang individu yang baik (yang duduk bersama dengan kita) dan juga individu yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan juga tukang besi.
Duduk bersama penjual minyak wangi sama ada kamu akan membelinya atau kami dapat menikmati bauan wanginya. Manakala duduk bersama tukang besi pula sama ada menyebabkan terpercik api ke badan atau baju kamu, atau kamu mendapati bauan yang busuk darinya. (Riwayat Al-Bukhari (2101).
Jelas betapa pentingnya sahabat yang baik kerana ia membawa kebaikan dunia dan akhirat.
Persahabatan sejati itu yang sentiasa kir melakukan kebaikan dan matlamat tinggi keredaan Allah SWT.
Imam al-Ghazali mengingatkan kita akan tiga tahap ikhlas iaitu pertama, tahap hamba di mana kita lakukan sesuatu kerana takut kemurkaan Allah SWT.
Tahap kedua iaitu tahap pedagang iaitu ikhlas lakukan sesuatu kerana inginkan pahala dan tahap ikhlas yang tinggi iaitu tahap kekasih bila mana kita melaksanakan sesuatu atas dasar diri seorang kekasih yang cintakan keredaan Rabb.
Dalam mencari kemanisan dalam keikhlasan insan, perlu mujahadah diri yang tinggi khususnya dalam mendamba cinta Allah SWT dan kasih sayang sesama manusia.
Mengenal Pencipta maka hamba akan mengenal diri bagaimana untuk mengikhlaskan diri kepada Rabb dan kepada hamba-Nya.
-Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.