Kawat hulur sumbangan kepada pengamal media terjejas banjir - Utusan Malaysia

Kawat hulur sumbangan kepada pengamal media terjejas banjir

AHMAD Safri Husnaini Mohamad (barisan hadapan, empat dari kiri) bergambar bersama pengamal media yang terjejas banjir di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Nasib pengamal media di Terengganu yang terjejas banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini mendapat perhatian Kelab Wartawan dan Media Terengganu (Kawat).

Presiden Kawat, Ahmad Safri Husnaini Mohamad berkata, terdapat enam pengamal media daripada pelbagai agensi yang terkesan akibat banjir sejak gelombang pertama bermula pada November tahun lalu.

Menurutnya, Kawat berbesar hati dapat memberi sedikit sumbangan wang tunai bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka.

“Ada antara pengamal media ini yang tidak sedar rumah mereka turut dinaiki air ketika sedang bertugas membuat liputan.

“Banyak barangan yang rosak kerana tidak sempat diselamatkan menyebabkan kerugian beribu ringgit disebabkan perabot dan barangan elektrik rosak ditenggelami air banjir.

“Kawat berharap sumbangan kecil ini dapat menceriakan mereka untuk terus bermotivasi menjalankan tugas walaupun turut menjadi mangsa banjir,” katanya selepas menyampaikan bantuan itu sempena majlis Tautan Kasih, di sini, semalam.

Dalam majlis yang sama, seramai 16 pengamal media termasuk mereka yang telah menamatkan perkhidmatan turut hadir menerima sumbangan kerana diuji masalah kesihatan dan musibah yang lain.

Sementara itu, Mahadi Mustafa, 49, yang bertugas di Jabatan Penerangan Malaysia daerah Dungun berkata, rumahnya memang berisiko dinaiki air setiap kali berlaku hujan lebat pada musim tengkujuh.

“Ini kali ketiga rumah saya dilanda banjir, memang penat berkemas siang malam mengalihkan barangan ke tempat yang selamat.

“Apa pun, saya bersyukur kerana banjir tidaklah terlalu teruk seperti di lokasi lain hingga menghanyutkan rumah akibat arus deras,” katanya.

Norhaniza Mat Yeh, 39, pula berkata, banjir kali ini adalah di luar jangka menyebabkan banyak barangan miliknya rosak kerana tidak sempat diselamatkan.

“Mujur, saya sempat alihkan kereta ke kawasan lebih tinggi kerana air naik terlalu cepat hingga setengah meter. Terima kasih Kawat atas sumbangan yang diberi,” katanya yang bertugas sebagai juruhebah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya