AL-ARISH: Di atas kapal perang Perancis di luar pantai Mesir, rakyat Palestin yang tercedera menerima perkhidmatan rawatan kesihatan secara komprehensif ekoran dikepung tentera Israel berbulan-bulan lamanya.
Duduk di atas kerusi roda, Abdulrahman Iyad meregangkan tangannya di riba, merehatkannya perlahan-lahan berhampiran pin yang menonjol dari pahanya.
Dia melihat telefon bimbit, melihat foto keluarga, semuanya terbunuh dalam letupan yang mengoyakkan mukanya sendiri.
“Saya dihantar ke kapal itu menerusi helikopter. Bom mengenai dinding rumah jiran kami, kaki saya terperangkap di bawah siling.
“Apabila tersedar di hospital, bapa saudara memberitahu mengenai perkembangan terkini, tetapi saya tidak ingat apa-apa,” Abdulrahman berkongsi dengan AFP mengenai kapal pengangkut helikopter Perancis, LHD Dixmude yang digunakan sebagai hospital untuk merawat warga Palestin yang cedera.
Rumah Abdulrahman seperti di kebanyakan wilayah Palestin, runtuh dibom Israel di mana Israel melancarkan perang terhadap pejuang Hamas sejak awal Oktober lalu.
Pertempuran bermula pada 7 Oktober lalu apabila kumpulan bersenjata Hamas melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel dari Gaza.
Serangan itu mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Israel bertindak balas dengan serangan tentera yang membunuh sekurang-kurangnya 25,105 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.
Kata pakar perubatan, misi mencari dan menyelamat menjadi hampir mustahil di wilayah itu, bermakna beribu-ribu terperangkap dan dianggap mati di bawah runtuhan.
Malah, sistem penjagaan kesihatan hampir keseluruhannya runtuh dengan hospital dan doktor terpaksa merawat semakin ramai mangsa yang terkorban dengan sumber yang semakin berkurangan.
Kapal perang Perancis itu mula merawat pesakit pada November lalu di luar pantai pelabuhan El-Arish, 50 kilometer di barat sempadan Mesir dengan Gaza.
Di dalam badan kapal, segelintir pesakit dan keluarga mereka berkumpul di sekeliling meja, leka bermain permainan kad.
Salah seorangnya ialah Nesma Abu Gayad, warga Palestin yang cedera parah apabila rumahnya dibedil.
“Saya dirawat di beberapa hospital di Gaza, sebelum tiba di Mesir.
“Langkah seterusnya ialah prostetik, tetapi saya perlu mendapatkan rujukan dan melakukan perjalanan untuk mendapatkan rawatan ke luar negara, katanya.
Doktor Perancis, Marine, yang berkhidmat di atas kapal Dixmude dan hanya memberikan nama pertamanya berkata, kapal perang itu setakat ini menerima 120 pesakit, kesemuanya kes serius yang memerlukan kemasukan ke hospital dalam tempoh yang lama.
Seorang lagi doktor Perancis di Dixmude, Salle, berkata, dia terkejut dengan kecederaan yang dihadapi oleh penduduk Gaza.
“Saya terkejut, mereka yang cedera berada dalam kalangan orang awam,” katanya.