Jurutera tidak mengaku pandu mabuk hingga sebabkan kematian dua guru - Utusan Malaysia

Jurutera tidak mengaku pandu mabuk hingga sebabkan kematian dua guru

TEOH Joo Leong, 47, (bertopi hitam) ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini, atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kematian dua guru lelaki pada 16 Disember tahun lalu.- Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang jurutera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kematian dua guru lelaki pada 16 Disember tahun lalu.

Tertuduh, Teoh Joo Leong, 47, kelihatan tenang dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.

Mengikut pertuduhan, Joo Leong didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan hingga menyebabkan kematian Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, dan Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Permatang Baru, Seberang Perai Utara, pukul 2.30 pagi, 16 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh diwakili peguam Benjamin Tan dan Chew Anthony.

Terdahulu, Nurameera menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Benjamin bagaimanapun memohon jaminan minimum dikenakan atas faktor anak guamnya yang berpendapatan RM7,000 sebulan telah bercerai dan perlu menyara tiga anaknya yang masih bersekolah.

Tambahnya, anak guamnya juga bertanggungjawab dalam menjaga ibu bapanya yang uzur dan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Siti Zulaikha kemudian menetapkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan difahamkan tertuduh membayar wang jaminan tersebut.

Mahkamah turut menetapkan 7 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu, tertuduh yang diiringi peguamnya tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan memakai baju T berkolar warna putih, berseluar kelabu dan bertopi hitam.

Pada 16 Disember lalu, media melaporkan kedua-dua guru yang dalam perjalanan pulang selepas meraikan rakan yang akan bertukar ke sekolah baharu maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan BMW yang hilang kawalan.

Insiden terbabit menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya