Jumlah kematian di Gaza melepasi 25,000 orang

Jumlah kematian di Gaza melepasi 25,000 orang

GAMBAR dari Rafah menunjukkan asap berkepul-kepul dibom Israel ke atas Khan Younis di selatan Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Serangan dan pertempuran jalanan terus berlaku di seluruh Gaza jumlah kematian akibat serangan Israel sejak perang meletus pada Oktober lalu melepasi 25,000 orang.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, 178 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu, hari perang paling dahsyat setakat ini.

Pesawat Israel meneruskan pengeboman ke atas Khan Younis di selatan Gaza dan letupan bergema di seluruh bandar.

Letupan didapati menerangi langit di bahagian kem pelarian Khan Younis.

Tentera Israel berkata, hanya seorang askar terbunuh dalam pertempuran terbaharu.

Tentera Israel dan pejuang Hamas bertempur di beberapa tempat dari Jabalia di utara hingga Khan Younis di selatan, yang menjadi tumpuan operasi Israel baru-baru ini.

Israel berkata, tenteranya membersihkan sebahagian besar utara Gaza daripada rangkaian ketenteraan Hamas dan lebih sejuta penduduk kawasan itu bergerak ke selatan untuk melarikan diri dari pengeboman.

Pertempuran, bagaimanapun, berterusan di kem pelarian Jabalia dan kawasan lain di sekitar Bandar Gaza.

Israel melancarkan kempennya untuk menghapuskan Hamas yang disokong Iran selepas militan menyerbu Israel pada 7 Oktober lalu dan mengamuk melalui bandar dan pangkalan selatan, membunuh 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan membawa 253 tebusan kembali ke Gaza.

Israel berkata ia sedang memerangi ancaman.

Kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata 25,105 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dan 62,681 cedera dalam serangan Israel sejak 7 Oktober lalu.

Ia tidak membezakan antara kematian orang awam dan pejuang, tetapi kebanyakan mereka yang terbunuh adalah orang awam.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres mengecam Israel atas apa yang disebutnya kematian menyayat hati orang awam Palestin di Gaza.

Guterres juga berkata, tidak boleh diterima bagi Israel untuk menentang kenegaraan bagi rakyat Palestin dan pendirian sedemikian akan memanjangkan konflik selama-lamanya.

“Operasi ketenteraan Israel menyebarkan kemusnahan besar-besaran dan membunuh orang awam pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini semasa saya sebagai setiausaha agung,” kata Guterres.

Israel berkata, ia mengambil langkah untuk mengelak korban awam, tetapi menuduh Hamas beroperasi di kawasan padat penduduk dan menggunakan orang awam sebagai perisai manusia, bagaimanapun dinafikan kumpulan Islam itu. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya