Isteri tenang diuji suami curang

Isteri tenang diuji suami curang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA mencapai satu fasa dalam rumahtangga, ujian dilalui kebanyakan suami isteri ialah gangguan orang ketiga.

Ia boleh dielakkan andai hati tidak goyah, kekal dengan kasih sayang serta sentiasa ingat anak dan isteri.

Paling penting iman di dada kekal utuh dan menjadikan keluarga sebagai matlamat ke syurga.

Suami curang biasanya diuji dengan kesempurnaan dan kebaikan wanita lain.

Ketika itu si suami tidak terfikir tentang isteri dan anak. Yang ada dalam fikiran mereka, wanita lain itu lebih sempurna daripada isteri sah.

Minggu ini saya kongsikan kisah Azni (bukan nama sebenar) yang berpengalaman berhadapan dengan suami curang tanpa dia ‘naik gila’ mengenainya.

Dalam pertemuan dengan saya baru-baru ini, wanita berusia 35 tahun itu berkata, walaupun peristiwa itu sudah hampir sedekad berlalu dan suami telah pun berubah, tetapi hati yang dicurangi tetap terdetik sangsi.

“Saya sudah memaafkan suami, namun untuk melupakan tidak mungkin,” katanya memulakan perbualan.

Mengimbas kenangan lalu saat dicurangi, kata Azni, emosinya cukup terkesan apabila mendapat tahu suami yang dikahwini hampir empat tahun itu mempunyai kekasih lain.

Namun katanya, dia tidak cepat melatah, sebaliknya memilih untuk bersikap tenang dan enggan bertindak seperti orang hilang pertimbangan.

Cerita Azni, hubungan suami dan wanita itu terjalin semasa dia mengandung anak kedua.

“Saya tidak rasa apa-apa ketika suami membawa wanita itu pulang ke rumah. Hubungan mereka saya anggap tidak lebih daripada rakan sekerja. Namun lain pula cerita di belakangnya apabila saya mula terdengar khabar angin suami ada hubungan sulit di pejabat,” imbasnya.

Kata Azni, sakitnya hanya Allah yang tahu, namun dia tidak cepat melenting. Tambahan pula dia perlu menjaga kesihatan mental dan fizikal kerana ketika itu usia kandungannya masuk tiga bulan.

Sepanjang hubungan tersebut, beberapa kali wanita itu meminta mahu bertemu dengannya, namun ditolak secara baik.

Kata Azni, dalam hubungan terlarang itu dia tidak menyalahkan 100 peratus kepada wanita yang menjadi orang ketiga, sebaliknya suami turut terlibat.

“Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Kedua-dua pihak sama-sama bertanggungjawab.

“Kalau suami tidak melayan, tidak mungkin wanita itu berani meneruskan hubungan lebih jauh,” kata ibu kepada sepasang cahaya mata berusia 15 dan 13 tahun itu.

Tambahnya, dalam hubungan terlarang melibatkan suami orang, buruknya lebih terlihat kepada wanita.

Mereka akan dilabel sebagai penganggu rumah tangga orang atau penyondol.

Namun, tanpa disedari, suami orang juga bertanggungjawab atas setiap hubungan yang terjalin.

Ketika awal mengetahui suami curang, kata Azni, walaupun hatinya terluka dia mengambil pendekatan mengumpul bukti .

“Saya tidak mahu membuat tuduhan membabi buta dengan hanya berdasarkan khabar angin.

“Apabila mengetahui dan ada bukti suami curang, perkara pertama yang saya lakukan membendung emosi marah, geram dan sakit hati.

“Saya memilih untuk bersikap tenang dan berazam memperbaiki hubungan kami suami isteri. Saya berbuat demikian kerana enggan dipandang rendah.

“Cukup mustahil untuk saya memperoleh jawaban jujur dan segera daripada suami mengenai kecurangannya ketika itu, namun saya yakin kesabaran itu indah pada akhirnya,” ujarnya mengimbas kisah lalu.

Kata Azni lagi, setiap individu berbeza dan mungkin cara dia bertindak balas terhadap kecurangan suami juga berlainan.

Bercerita lanjut kata Azni, ketika itu dalam hatinya memang ada terasa ingin berjumpa dengan kekasih gelap suami.

“Ikutkan hati marah ketika itu, mahu sahaja saya menyerang wanita itu. Namun saya berfikir semula, tidak ada guna saya berbuat demikian.

“Apabila suami curang, dialah individu yang paling layak untuk disoal siasat terlebih dahulu. Bagaimanapun bukan bermakna wanita tersebut terlepas begitu sahaja,” ujarnya.

Sepanjang tempoh berdepan dengan suami curang, kata Azni, dia tidak pernah meletakkan kesalahan kepada diri sendiri.

“Sepanjang hampir tiga tahun hidup bersama, saya berusaha menjaga segala keperluan suami sebaik mungkin.

“Walaupun terikat dengan jadual kerja sebagai kakitangan awam, saya tetap pastikan keperluan suami dan anak yang ketika itu berusia dua tahun terjaga,” katanya.

Tambahnya, dalam usaha mencari jalan penyelesaian dia memilih untuk fokus kepada hubungannya dan suami.

Dia enggan menghabiskan tenaga, mental dan fizikalnya memikirkan wanita itu yang sering berasa diri bagus kerana berjaya membuatkan suami jatuh cinta kali kedua.

“Sebagai isteri saya cuma berhak ke atas suami, bukan wanita tersebut. Saya juga tidak sesekali merayu wanita itu tinggalkan suami saya ketika itu.

“Saya hanya mengambil sedikit masa untuk bertenang sebelum dapat duduk bersemuka dan berbincang dengan suami,” sambungnya.

Tambahnya, curang itu pilihan, bukan diperangkap atau terperangkap.

Sebagai wanita, kata Azni, apabila pasangan curang, pilihlah untuk menyelesaikan dengan cara baik.

Ini katanya, sekali gus mengangkat darjat isteri tersebut, sebagaimana Allah mengangkat darjat seseorang dengan ujian sedemikian.

Katanya, ketika itu dia reda andai jodohnya dengan suami tidak panjang,

“Alhamdulilah, selepas diuji, hubungan kami lebih rapat. Kami sentiasa berusaha memperbaiki kekurangan diri yang mungkin terlepas pandang selama ini,” katanya mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Sesungguhnya, manusia pasti tidak akan terlepas dengan dugaan dan ujian kehidupan di dunia sementara ini. Sebagaimana Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan kami jadikan sebahagian kalian dugaan dan ujian bagi sebahagian yang lain. Mahukah kamu semua bersabar?’’ (Al-Furqan:20).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya