Isteri Daim didakwa tidak isytihar 12 harta kepada SPRM

Isteri Daim didakwa tidak isytihar 12 harta kepada SPRM

daim
NA'IMAH Abdul Khalid tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan gagal mengisytiharkan harta. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isteri Tun Dr. Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember tahun lalu.

Harta-harta itu melibatkan dua buah syarikat Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd. serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz. Selain itu, lapan hartanah didakwa turut gagal diisytiharkan iaitu Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, kediaman di Pesiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr. Ismail.

Na’imah, 67, yang juga isteri bekas Menteri Kewangan didakwa dengan sengaja memberikan pernyataan bertulis secara bersumpah bertarikh 8 November 2023 tanpa mematuhi terma notis yang dinyatakan di bawah Seksyen 36(1)(b) akta itu.

Menurut pertuduhan, notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 manakala kesalahan didakwa dilakukan pada 13 Disember 2023 di Ibu Pejabat SPRM di Presint 7, Putrajaya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pasukan pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd. Azmi, Mohd. Fadhly Mohd. Zamry dan Maziah Mohaide manakala Na’imah pula diwakili oleh barisan peguam bela iaitu Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, M. Puravalen dan Alex Tan.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mac ini untuk serahan dokumen. Terdahulu, Ahmad Feisal menawarkan jaminan RM500,000 manakala pasport diserahkan sebagai syarat jaminan dan melapor diri ke pejabat SPRM sebulan sekali.

Bagaimanapun Mohd. Yusof berhujah jaminan itu terlalu tinggi dan tidak sesuai dengan graviti kesalahan yang dilakukan, memadai jaminan sebanyak RM250,000 diberikan kepada anak guamnya.

Hujah beliau, tiada fakta yang mewajarkan Na’imah menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana anak guamnya tidak terlibat dalam kes jenayah melibatkan keganasan mahupun berisiko melarikan diri.

“Na’imah bukanlah terlibat dengan sebarang kes jenayah yang menjadikannya ‘flight risk’ dan beliau tinggal (kediamannya) di belakang mahkamah ini sahaja. Dia tidak akan ke mana-mana dan berada di sini untuk mempertahankan diri dalam kes ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Feisal berhujah bahawa Na’imah sama seperti tertuduh lain yang mewajarkannya dikenakan syarat jaminan serupa. Sementara itu, Mohd. Yusof turut memohon Na’imah dibenarkan menunggu dalam kamar mahkamah dan tidak dibawa ke lokap sementara wang jaminannya dijelaskan.

Azura membenarkan Na’imah ditempatkan dalam bilik saksi seperti kebiasaannya tertuduh lain, namun perlu menyelesaikan urusan jaminan di kaunter mahkamah.

SPRM telah memulakan siasatan terhadap keluarga Daim sejak Februari 2023 lalu rentetan daripada pendedahan Kertas Pandora. Pada 10 Januari lalu, Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi itu terhadap Daim.

Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN