Israel tetap serang Gaza walaupun ICJ arah hentikan operasi

Israel tetap serang Gaza walaupun ICJ arah hentikan operasi ketenteraan

Kemusnahan Semenanjung Gaza akibat serangan Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel terus me­lakukan pertempuran intensif di Khan Younis, bandar utama di selatan Gaza yang terkepung walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan gencatan senjata dan menghentikan operasi ketenteraan.

Malah, tenteranya dilapor­kan menyerang berpuluh-puluh pejuang dan infrastruktur Hamas dari udara dan darat.

Israel juga berkata, tentera mereka menembak sasaran Hamas di utara Gaza dan di sepanjang pantai kawasan berkenaan.

Menurut pegawai di Gaza, serangan Israel membunuh 20 rakyat Palestin yang sedang beratur untuk mendapatkan bantuan makanan di Kota Gaza, 11 orang di tengah kem pelarian Al-Nusseirat Gaza dan sekurang-kurangnya 50 orang dalam tempoh 24 jam di Khan Younis, di mana Israel sedang menumpukan perhatian kekuatannya.

Dalam tempoh lebih tiga bulan peperangan, kata pegawai Gaza berkenaan, kempen Israel adalah untuk meratakan sebahagian besar wilayah itu menyebabkan kira-kira 1.9 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal dan membunuh kira-kira 26,000 orang.

ICJ membuat keputusan mengenai permintaan Afrika Selatan supaya langkah kecemasan diambil terhadap Israel dalam kes tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Israel melancarkan serangannya pada 7 Oktober lalu selepas pejuang Hamas yang memerintah Gaza, menyerbu ke selatan Israel serta membunuh 1,200 orang dan menjadikan 240 tebusan mereka.

USAHA RUNDINGAN DITERUSKAN

Sementara itu, usaha diplomatik untuk merundingkan pemecahan konflik kedua-dua pihak iaitu Israel dan Palestin tetap diteruskan.

Ketua perisikan Amerika Syarikat (AS) dan Israel dijadual bertemu Perdana Menteri Qatar yang juga Menteri Luar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani di Eropah hujung minggu ini.

Sumber berkata, Ketua Perisikan Mesir juga akan mengambil bahagian.

White House cuba memudahkan pembebasan lebih 100 tebusan Israel yang diculik semasa sera­ngan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel sehingga mencetuskan perang di Gaza, walaupun masih terdapat jarak yang agak jauh antara tuntutan kedua-dua pihak.

CADANGAN 60 HARI JEDA PERTEMPURAN

Sumber lain yang mempu­nyai pengetahuan tentang run­dingan itu berkata, Israel mencadangkan 60 hari jeda dalam pertempuran di mana tebusan akan dibebaskan secara berperingkat, bermula dengan wanita dan kanak-kanak.

Sebelum ini, tiga sumber memberitahu Reuters bahawa AS, Qatar dan Mesir berusaha untuk mencapai perjanjian baharu untuk gencatan senjata selama sebulan.

Tetapi kemajuan perbinca­ngan itu tertangguh berikutan berlaku perbezaan pendapat di antara pejuang Hamas dan Israel mengenai cara untuk menamatkan perang Gaza secara kekal.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Demokrasi Afrika Selatan, Steven Friedman berkata, walau apa pun keputusan ICJ, kes itu jelas memalukan Israel dan sekutunya di Washington, Brussels dan London.

HUBUNGAN DIPLOMATIK

Katanya, rakan-rakan sekutu mungkin merungut, tetapi mereka hampir tidak mampu untuk mengasingkan hubungan diplomatik dengan Afrika.

“Jika anda mula menghukum Afrika Selatan kerana pergi ke ICJ, maka anda perlu mula meng­hukum banyak negara Afrika lain (kerana menyokong rakyat Palestin).

“Jika anda berbuat demikian, maka anda juga boleh menghantar (Presiden China) Xi Jinping surat yang mengatakan anda menang,” ujarnya.

Menggariskan perkara itu, semasa lawatan ke Angola kelmarin, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, sama ada mempunyai perselisihan faham atau tidak, satu perkara tertentu adalah bekerjasama dalam ba­nyak bidang lain.

Para pegawai Afrika Selatan sering membandingkan perjua­ngan mereka menentang pemerintahan minoriti kulit putih dengan perjuangan Pa­lestin, perbandi­ngan yang sangat dipertikaikan oleh Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya