Israel dakwa berjaya lerai pemerintahan Hamas di utara Gaza

Israel dakwa berjaya lerai pemerintahan Hamas di utara Gaza

Gambar yang diambil dari Rafah pada 6 Januari 2024 menunjukkan asap berkepul-kepul di atas Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza setelah dibom tentera Israel.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mendakwa mereka berjaya meleraikan struktur pemerintahan pejuang Hamas di utara Semenanjung Gaza.

Jurucakap tentera rejim Zionis itu, Daniel Hagari berkata kepada pemberita, pejuang Hamas beroperasi di kawasan itu tanpa komander.

Malah, katanya, pejuang berkenaan juga terpaksa beroperasi secara sporadik.

“Kami telah meleraikan rangka kerja tentera Hamas di utara Semenanjung Gaza. Kini tumpuan kami adalah untuk membongkar Hamas di tengah-tengah semenanjung dan di selatan semenanjung Gaza,” katanya sambil mengakui tugas itu akan mengambil masa.

Israel berikrar untuk menumpaskan pejuang Hamas di Gaza selepas mereka melakukan serangan paling dahsyat dalam sejarah negara itu pada 7 Oktober lalu.

Serangan itu mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang kebanyakannya orang awam Israel, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Pejuang itu turut mengambil kira-kira 250 tebusan, 132 daripadanya masih dalam tawanan, menurut Israel.

Israel bertindak balas dengan mengebom wilayah itu dan menghantar tentera darat, membunuh sekurang-kurangnya 22,722 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Bercakap mengenai usaha ketenteraan untuk meleraikan Hamas di tengah dan selatan semenanjung Gaza, Hagari berkata, pihaknya akan melakukannya dengan cara yang berbeza.

“Kem pelarian di tengah Semenanjung Gaza sesak dan penuh dengan pengganas.

“Di selatan, landskap bandar besar Khan Younis mempunyai rangkaian terowong bawah tanah yang rumit dan ia mengambil masa,” ujarnya.

Terdahulu, Sabtu lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, kerajaannya mengarahkan tentera untuk menghapuskan Hamas, mengembalikan semua tebusan dan memastikan Gaza tidak akan menjadi ancaman kepada Israel lagi.

“Perang tidak boleh dihentikan sehingga kita mencapai semua matlamat,” katanya dalam satu kenyataan.-AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya