NEW DELHI: India merancang mendirikan pagar di sepanjang sempadannya yang luas dan berliang dengan Myanmar dan akan membatalkan perjanjian zon sempadan pergerakan bebas.
Lapor media India, Menteri Dalam Negeri, Amit Shah membuat pengumuman berkenaan selepas ratusan tentera dari Myanmar melarikan diri dari serangan pemberontak menyeberang ke India.
Amit menambah semasa lawatan ke negeri timur laut Assam, kerajaan memutuskan untuk memagar seluruh sempadan India-Myanmar yang terbuka.
Sempadan itu membentang lebih daripada 1,200 kilometer dari hutan terpencil hingga ke puncak Himalaya yang dilitupi salji.
Amit yang tidak memberikan butiran mengenai jangka masa atau bagaimana pagar itu akan dibina berkata, kerajaan juga akan menamatkan perjanjian pergerakan bebas.
Perjanjian itu membolehkan mereka yang tinggal di zon sempadan meneroka jarak dekat ke wilayah masing-masing tanpa visa.
Ramai di zon sempadan berkongsi hubungan budaya dan agama yang rapat.
“Kami akan menamatkan kemudahan ini,” kata Shah, menurut video yang disiarkan oleh Times of India.
India memagar lebih 2,000 kilometer sempadannya dengan Pakistan dan sekurang-kurangnya 3,100 kilometer dengan Bangladesh, menurut statistik kerajaan dari 2021.
Sebahagian Myanmar berhampiran sempadan India menyaksikan pertempuran yang kerap sejak pejuang Arakan Army (AA) menyerang pasukan keselamatan pada November lalu, menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya diadakan sejak rampasan kuasa tentera 2021.
Pada Oktober lalu, pakatan termasuk pemberontak AA dan pejuang etnik minoriti lain melancarkan serangan bersama di seluruh utara Myanmar, merampas hab perdagangan penting di sempadan China.
Awal bulan ini, pakatan itu mengumumkan gencatan senjata yang diketengahkan oleh China, tetapi ia tidak terpakai di kawasan berhampiran sempadan India di mana pertempuran berterusan.-AFP