ICJ buat keputusan perintah kecemasan terhadap Israel hari ini

ICJ buat keputusan perintah kecemasan terhadap Israel hari ini

MENTERI Kehakiman Afrika Selatan, Ronald Lamola dan Duta Besar Afrika Selatan ke Belanda Vusimuzi Madonsela hadir ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menjelang perbicaraan kes pembunuhan beramai-ramai terhadap Israel yang dibawa oleh Afrika Selatan di ICJ, The Hague, Belanda. ​
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan membuat keputusan sama ada perintah kecemasan atau sebaliknya mengenai tindakan Israel yang didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza hari ini.

Mahkamah itu boleh mengarahkan Israel menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza yang dicetuskan oleh serangan pada 7 Oktober lalu atau memudahkan bantuan kemanusiaan.

Mahkamah bagaimanapun tidak akan memberikan penghakiman sama ada Israel benar-benar melakukan genosid di Gaza atau tidak.

Pada peringkat ini, ICJ akan membuat perintah kecemasan sebelum mempertimbangkan tuduhan yang lebih meluas iaitu genosid,  satu proses yang mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun.

Kes itu dibawa oleh Afrika Selatan yang mengatakan bahawa Israel melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948.

Pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Australia Selatan, Juliette McIntyre berkata, Afrika Selatan tidak perlu membuktikan bahawa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.

“Mereka hanya perlu memastikan bahawa terdapat risiko yang munasabah untuk pembunuhan beramai-ramai itu berlaku,” katanya kepada AFP.

Kes ini melalui dua hari perbicaraan pada awal bulan ini di Istana Keamanan di Den Haag.

Dalam pada itu, seorang peguam terkemuka Afrika Selatan, Adila Hassim berkata, pembunuhan beramai-ramai tidak pernah diisytiharkan terlebih dahulu.

“Tetapi Mahkamah ini mendapat manfaat daripada bukti 13 minggu lalu yang tidak dapat dipertikaikan mengenai corak kelakuan dan niat yang mewajarkan tuntutan munasabah berkaitan tindakan pembunuhan beramai-ramai,” tambahnya.

Kes itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan di Israel dengan Perdana Menteri Israel,  Benjamin Netanyahu mengisytiharkan bahawa dunia sudah terbalik.

Peguam Israel, Tal Becker menolak kes yang dibawa Afrika Selatan sebagai gambaran fakta dan undang-undang yang sangat diputarbelitkan dan huraian di luar konteks serta dan manipulatif di lapangan.

Menunjukkan imej mahkamah serangan Hamas yang kejam, Becker berkata, jika terdapat tindakan yang mungkin disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai, maka ia dilakukan terhadap Israel.

Becker menafikan bahawa operasi Israel ditujukan kepada warga Gaza. 

“Matlamat tentera adalah bukan untuk memusnahkan rakyat, tetapi untuk melindungi rakyat, rakyatnya, yang diserang di pelbagai sudut,” katanya.

Keputusan ICJ akan mengikat semua pihak, tetapi ia tidak mempunyai mekanisme untuk menguatkuasakannya. 

Kadang-kadang keputusan itu diabaikan sama sekali. Sebagai contoh, mahkamah mengarahkan Russia menghentikan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Netanyahu mencadangkan dia tidak berasa akan terikat dengan mahkamah.

Katanya, tiada siapa yang akan menghalang pihaknya, bukan The Hague, bukan Axis of Evil dan tiada orang lain.

Penolong profesor undang-undang antarabangsa awam di Universiti Leiden, Cecily Rose memberitahu, boleh dibayangkan bahawa perintah oleh mahkamah tidak akan memberi pengaruh yang signifikan terhadap operasi ketenteraan Israel.

Tetapi, jelasnya,  jika mahkamah memutuskan terdapat risiko pembunuhan beramai-ramai di Gaza, ia masih boleh memberi kesan terutamanya kepada negara lain yang menyokong Israel dari segi politik atau ketenteraan.

“Negara-negara lain boleh menarik balik sokongan tentera atau lain-lain untuk Israel mengelakkan perkara ini (genosid),” tambahnya.

Ketika memfailkan kes di mahkamah, Afrika Selatan mengakui  mempunyai tanggungjawab berat dan tertentu untuk menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai, tetapi mereka terikat untuk menegakkan tanggungjawab di bawah Konvensyen.

Serangan Hamas 7 Oktober mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Sekurang-kurangnya 25,700 rakyat Palestin, kira-kira 70 peratus daripadanya wanita, kanak-kanak dan remaja, telah terbunuh di Semenanjung Gaza dalam pengeboman dan serangan darat Israel sejak itu, menurut kementerian kesihatan kerajaan Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya