JARANG sekali naskah genre keilmuan, lebih-lebih lagi membabitkan aspek kesihatan obstetrik dan ginekologi diolah secara santai.
Namun, Pengasas Klinik Pencegahan Kelahiran Pramatang pertama di Malaysia ini, Prof. Dr. Imelda Nasreen Nasruddin, 52, mengambil pendekatan menampilkan buku dalam bahasa mudah di samping senang difahami.
Pendekatan mesra pembaca itu, bagaikan membawa kita membaca dan menatal status di media sosialnya yang diikuti lebih 663,874 orang.
Dr. Imelda mula membabitkan diri dalam dunia maya enam tahun lalu menerusi akuan Facebook, Imelda Balchin.
Ratusan ribu pengikut dimiliki, sekali gus membuktikan betapa besarnya pengaruh beliau dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan usia, latar kerjaya dan bangsa.
Keaktifannya melayani pertanyaan orang ramai dengan jawapan bernas di samping pantas mengulas isu-isu semasa di media sosial membolehkan namanya cepat naik hingga bergelar doktor pempengaruh.
Sepanjang terlibat dalam bidang perubatan, beliau meraih pelbagai pencapaian antaranya mengasaskan Klinik Pencegahan Kelahiran Pramatang pertama di Malaysia, pakar dalam pembedahan Shirodkar di samping mengendalikan rancangan bual bicara, Tanya Dr. Imelda.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) itu mengakui terpanggil untuk berbuat demikian berikutan sikap generasi sekarang yang ‘malas’ membaca terutama dengan kepesatan media sosial berasaskan video seperti TikTok.
“Sepanjang aktif menulis di media sosial, saya kerap diajukan pertanyaan sama dan kadang kala sampai berulang-ulang.
“Seolah-olah tiada rujukan dibuat berikutan sikap malas membaca membaca dalam kalangan masyarakat termasuk ibu hamil. Soalan berulang-ulang apabila mereka hamil sedangkan soalan sama pernah ditanyakan oleh wanita lain, tahun-tahun sebelumnya.
“Sampaikan sudah tidak larat nak menjawab soalan yang serupa. Saya harap ibu-ibu rajinlah membaca supaya saya boleh bersara daripada media sosial,” katanya berseloroh.
Motivasi kuat untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan masyarakat itu, mendorongnya menghasilkan karya bertajuk Mai Chek Nak Habaq – 100 Mitos Kesuburan dan Kehamilan.
Dr. Imelda yakin buku pertamanya untuk bacaan orang awam itu mampu menambat hati masyarakat di negara ini, sekali gus meningkatkan lagi pemahaman mengenai kesuburan dan kehamilan.
Sebelum ini, beliau banyak terlibat dalam penulisan buku-buku akademik untuk doktordoktor, pelajar perubatan dan jururawat.
“Dahulu, semua maklumat diperolehi daripada buku dan bahan-bahan ilmiah yang ditulis oleh pakar.
“Di zaman media sosial ini, sukar untuk kita mendapatkan maklumat daripada pakar-pakar menerusi platform itu kerana mereka tiada masa menulis.
“Tetapi, atas kesedaran mahu mendidik masyarakat tentang ilmu kesihatan serta amalan membaca, saya kuatkan semangat menulis di media sosial dan kini buku,” kongsinya lagi.
TOLAK TIKTOK
Atas sebab itu, Dr. Imelda turut menolak untuk membuka akaun TikTok, hingga kini.
Sebaliknya, beliau kekal menjadikan Facebook sebagai medium utama bagi berkongsi ilmu-ilmu kesihatan dengan masyarakat.
“Bagi yang sudah lama mengikuti saya di Facebook, pasti mereka tahu kenapa saya jarang buat kandungan berbentuk video.
“Walaupun video yang dibuat pernah mencecah empat juta tontonan tetapi saya lebih suka orang ramai membaca,” kata ibu kepada dua anak perempuan ini.
ELEMEN LUCU, LAWAK
Siapa kata doktor pakar hanya tahu serius sahaja sepanjang masa dan tidak boleh melawak sekali sekala?
Dr. Imelda amat menitikberatkan nilai-nilai lucu sama ada ketika berinteraksi dengan pesakit, pelajar mahupun pengikut di media sosial.
Katanya, proses pembelajaran menjadi lebih seronok dan menghiburkan jika elemen-elemen itu diselitkan sebagai analogi atau contoh.
Secara tidak langsung dapat memudahkan seseorang mengingati dan menghayati fakta dengan mudah.
“Saya berpengalaman mengajar ramai doktor-doktor serta pelajar perubatan di negara ini dan di United Kingdom (UK), jika tiada benda-benda lawak, nanti mereka tidur pula di dalam kelas.
“Amalan itu saya selitkan juga dalam penulisan kerana apabila fakta disampaikan dalam bentuk cerita, ia akan lebih senang difahami dan diingati,” katanya yang tampil ringkas dengan blaus biru dan skirt hitam.
Malah, Imelda turut mengakui ketawa terkekek-kekek apabila membaca kembali setiap tulisannya.
PERISAI LAWAN MITOS
Dr. Imelda terkenal sebagai pejuang mitos-mitos kehamilan, kesuburan dan perbidanan malah sering berperang dengan golongan makcik-makcik bawang di media sosial yang mahu menegakkan benang basah.
Bertarung dengan mitos bukan tugasan mudah, namun amanah itu tetap digalas suri hati Martin George Crandley Balchin ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan keikhlasan.
Katanya, walaupun kebanyakan mitos itu tidak masuk akal, namun tetap dipercayai masyarakat kerana berulang kali didengari sejak zaman-berzaman.
Lantas, Imelda menjadikan kajian perubatan dan fakta-fakta sebagai perisai utamanya untuk melawan segala mitos-mitos.
“Sesuatu petua atau amalan akan dianggap betul apabila ramai bercakap tentangnya, tetapi saya lega sebab masyarakat terima pendekatan saya.
“Paling penting setiap isu perlu disertakan dengan alasan saintifik dan munasabah,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Dr. Imelda tidak mahu amalan orang dulu-dulu yang mengajar anak jangan berfikir dan melawan cakap terus dipraktikkan serta subur dalam masyarakat.
“Di masa dulu, kita tidak dibenarkan berfikir atau bertanya soalan dan hanya perlu mendengar sahaja.
“Contohnya, mitos memancing semasa isteri hamil nanti anak sumbing, sedangkan, kita tidak pernah diberitahu rasional di sebalik larangan itu, katanya.
HENTI FITNAH ORANG TUA
Percaya atau tidak, penyebar mitos-mitos berkaitan kehamilan dan kesuburan bukanlah dalam kalangan orang-orang tua seperti didakwa.
Sebaliknya, jelas Dr. Imelda, cerita auta dan tahyul itu ‘hidup’ dalam masyarakat kerana disebarkan oleh golongan muda di media sosial.
“Orang tua tidak main media sosial dan yang berkongsi mitos-mitos di platform itu ialah orang muda.
“Mereka kongsi maklumat salah kepada orang ramai dan selepas itu tuduh pula orang tua yang cakap contohnya, wanita hamil yang makan mi segera nanti anak lahir terbelit tali pusat, sedangkan makanan itu tidak wujud pun ratusan tahun dulu.
“Malah, ada juga mitos kononnya hanya oren sunkist boleh dimakan ketika berpantang tetapi, yang peliknya orang-orang tua zaman dahulu mana ada import buah berkenaan,” katanya.
Contoh lain termasuk dakwaan kononnya laksa tidak boleh dimakan selama setahun selepas bersalin.
Serentak itu, Imelda meminta masyarakat agar tidak menjatuhkan darjat orangorang tua dengan mengatakan kononnya segala mitos-mitos berpunca daripada mereka.
“Banyak fitnah yang dibuat terhadap orang-orang tua sedangkan kita tidak tahu orang tua mana yang mengeluarkan kenyataan itu.
“Mitos itu mungkin datang daripada mulut emak awak tetapi bukan emak saya dan orang lain,” katanya.
CABARAN KERJA
Sebagai pakar obstetrik dan ginekologi, cabaran besar yang dihadapi Dr. Imelda ialah tidak cukup tidur dan sesekali perlu bertugas di tengah malam.
“Kalaulah kita boleh atur ibu hamil bersalin pada siang hari kan senang hidup doktor-doktor seperti saya.
“Kalau ditanya berapa jam saya tidur dalam sehari, sebenarnya tiada jumlah spesifik sebab bergantung kepada orang yang nak beranak,” katanya sambil tertawa.
ENAM KUCING KESAYANGAN
Dibesarkan dalam keluarga yang amat menyayangi kucing, Imelda meneruskan jejak langkah membela haiwan comel itu.
Katanya, ketika ini sebanyak enam ekor kucing dipelihara di rumah.
“Kesemua adalah kucing jalanan dan disayangi sama rata, tanpa ada yang lebih dan kurang. Kita tidak boleh pilih kasih terhadap haiwan,” katanya mengakhiri temubual.
PROF. DR. IMELDA NASREEN NASRUDDIN @ BALCHIN
• Umur: 52
• Suami: Martin George Crandley Balchin, 55
• Anak-anak:Erin, 17, dan Samira, 20.
• Kerjaya: Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pengasas Klinik Pencegahan Kelahiran Pramatang pertama di Malaysia serta profesor di KPJ Healthcare University
• Pendidikan: Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Perubatan, Imperial College London serta kepakaran dalam Obstetrik dan Ginekologi.