MOSCOW: Seorang pegawai kanan Houthi menjanjikan laluan yang selamat untuk kapal milik Russia dan China melintasi Laut Merah.
Dalam temu bual yang diterbitkan Rusia Izvestia hari ini, pegawai kanan Houthi, Mohammed al-Bukhaiti menegaskan, bagi perairan di sekitar Yemen, beberapa firma perkapalan selamat selagi tidak dikaitkan dengan negara tertentu terutamanya Israel.
“Bagi semua negara lain, termasuk Russia dan China, penghantaran mereka di rantau ini tidak terancam.
“Selain itu, kami bersedia untuk memastikan laluan selamat kapal mereka di Laut Merah kerana navigasi bebas memainkan peranan penting untuk negara kita,” katanya.
Serangan ke atas kapal dalam apa jua cara yang berkaitan dengan Israel akan berterusan, tambahnya.
Pemberontak yang disokong Iran baru-baru ini berkata, kapal berkaitan Amerika Syarikat (AS) dan British akan menjadi sasaran selepas kedua-dua negara itu melancarkan serangan udara di Yemen.
Bagaimanapun, Houthi mendakwa, pihaknya melakukan satu lagi serangan ke atas kapal AS selepas negara itu melancarkan serangan baharu ke atas sasaran pemberontak semalam.
Houthi melancarkan banyak serangan di laluan perkapalan penting di sekitar Yemen sejak perang di Gaza meletus pada 7 Oktober lalu.
Mohammed menambah, kesalahan bagi serangan perkapalan adalah terletak pada kapal yang mengabaikan arahan Houthi untuk menukar haluan.
“Matlamat kami adalah untuk menaikkan kos ekonomi untuk negara Yahudi untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” jelasnya.
Mohammed mempertahankan penangkapan kumpulannya pada November lalu ke atas kapal Galaxy Leader, sebuah kapal dagang yang dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan Israel.
Menurutnya, langkah itu sebagai berjaga-jaga supaya semua pihak mengikut keperluan mereka.
“Kru kapal itu yang masih ditahan baik-baik saja dan kami melayan dengan baik terhadap mereka,” ujarnya.
Walaupun Houthi menegaskan bahawa serangan mereka hanya menyasarkan kapal dari negara tertentu, seorang komander Tentera Laut AS berkata, kapal terbabit sebenarnya mempunyai hubungan dengan berpuluh-puluh negara.-AFP