SANAA: Pemberontak Houthi Yemen mendakwa satu lagi serangan ke atas kapal Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi selepas AS melancarkan serangan baharu terhadap mereka kerana melakukan pencerobohan sekitar Laut Merah.
Tentera AS kemudian berkata peluru berpandu kumpulan itu terlepas sasaran.
Houthi berkata dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial bahawa pasukan tentera laut mereka menjalankan operasi menyasarkan terhadap sebuah kapal AS dikenal pasti sebagai Chem Renjer.
Bagaimanapun, Ia tidak memberikan masa atau butiran lain untuk serangan terbaru di laluan perkapalan antarabangsa itu.
Komando Pusat tentera AS yang bertanggungjawab ke atas Asia Barat berkata, Houthi melancarkan dua peluru berpandu balistik anti-kapal di M/V Chem Ranger, kapal tangki kendalian Yunani yang berbendera Pulau Marshall, milik AS.
“Kru memerhatikan peluru berpandu itu mengenai air, berhampiran kapal. Tiada kecederaan atau kerosakan yang dilaporkan pada kapal itu,” kata perintah itu dalam platform media sosial X.
Pencerobohan Houthi yang berterusan terhadap kapal sekitar Laut Merah menyebabkan serangan di Yemen dilakukan oleh tentera AS dan British.
Malah, AS melaporkan serangan terbarunya ke atas sasaran Houthi yang dibuat semalam.
Laman web pakar Marine Traffic berkata, Chem Ranger ialah kapal tangki kimia yang belayar dari Jeddah, Arab Saudi ke Kuwait.
Syarikat pengurusan risiko maritim Britain, Ambrey berkata, sebuah kapal tangki kimia Marshall yang belayar di laluan yang sama melaporkan insiden di tenggara pelabuhan Yemen Aden.
Agensi keselamatan maritim Britain, Pertubuhan Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) turut melaporkan berlaku insiden di kawasan yang sama, bagaimanapun, kapal dan anak kapal selamat.
“Kapal meneruskan ke pelabuhan seterusnya,” ujar UKMTO.