Guru cemerlang berperahu enam jam, jalan kaki ke sekolah

Guru cemerlang berperahu enam jam, jalan kaki ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENAM jam berperahu panjang untuk ke sekolah yang terletak di kawasan pedalaman.

Jika ada kejadian kepala air, perjalanan mungkin tertangguh tiga jam lagi bagi memastikan air sungai kembali surut.

Ini antara pengalaman dilalui Abdul Halim Majid, 40, apabila ditugaskan mendidik di Sekolah Kebangsan (SK) Ulu Engkari di Lubuk Antu, Sarawak dari 2010 hingga kini.

Selain berperahu, guru cekal berasal dari Machang, Kelantan ini pernah berjalan kaki lebih sejam apabila kenderaan pacuan empat roda (4×4) dinaiki terkandas dalam hutan akibat jalan licin dan tiba menjelang tengah malam.

Walaupun situasi itu mencabar fizikal dan mental, namun motivasi mendidik anak bangsa tidak sesekali luntur.

Sebaliknya, guru bahasa Melayu ini sentiasa menjadikan murid-murid sebagai aspirasi untuk berjuang dalam melahirkan generasi berilmu tanpa mengira lokasi.

“Penat dan stres itu pasti ada apabila berdepan situasi cemas dalam perjalanan terutama jika kenderaan terkandas.

“Tetapi bak kata pepatah, alah bisa, tegal biasa. Tengok muka murid-murid, ibarat menyuntik semangat untuk saya dan guru lain mengajar, keesokan harinya,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selama enam tahun dari 2010 hingga 2016 perjalanan ke SK Ulu Engkari adalah dengan menggunakan laluan air sahaja.

Namun, bermula 2017, akses bertukar ke laluan balak yang mengambil masa tiga jam dengan menaiki 4×4 dari bandar Simanggang sebelum menggunakan perahu panjang selama 15 minit untuk ke destinasi.

Katanya, kesemua lapan guru di samping tujuh anggota kumpulan pelaksana (AKP) tinggal di kuarters disediakan di sekolah.

“Kami cuma keluar ke bandar sekali dua dalam sebulan pada hujung minggu atau jika ada keperluan kursus sahaja.

“Walaupun menempuh banyak rintangan seperti jalan berbukit yang licin dan curam, kepala air, tanah runtuh, balak tumbang dan tayar pancit, tetapi perjalanan tetap perlu diteruskan tanpa boleh berpatah balik.

“Tipulah jika tidak takut kerana ada beberapa kejadian kenderaan jatuh gaung hingga meragut nyawa, tetapi saya selalu berdoa agar urusan dipermudahkan,” katanya.

HANYA SEMBILAN MURID
SK Ulu Engkari memiliki sembilan murid daripada pra hingga Tahun 5 dan tiada murid Tahun 6.

Abdul Halim berkata, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak sukar kerana guru dapat memberi tumpuan penuh pada setiap murid.

“Disiplin murid juga baik. Kami mengajar kelas secara bercantum iaitu Tahun 2 dan 3 diikuti Tahun 4 dan 5,” kongsinya yang sudah 15 tahun bergelar guru.

TOLAK KE JOHOR
Walaupun pernah ditawarkan mengajar di SK Tanjung Pengelih di Johor pada Disember 2021, namun beliau menolak atas faktor jarak yang jauh antara negeri itu dan kampung halaman di Kelantan.

Beliau lebih rela meneruskan perjuangan di Sarawak walaupun keadaan sekolah di sana terletak di pedalaman dengan sumber-sumber yang terhad dari segi akses pengangkutan di samping kemudahan telekomunikasi.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengkhususan Bahasa Melayu) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini berkata, sebelum SK Ulu Engkari, sekolah pertamanya adalah di SK Kem Skrang, Engkilili di daerah sama dari 2009 hingga 2010.

Kecekalan Abdul Halim mendidik di sekolah pedalaman membolehkannya menerima pengiktirafan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak dua kali pada 2014 dan 2022.


PERAMAH, RAJIN

Suasana kerja di Ulu Engkari menyeronokkan. Walaupun berbilang bangsa seperti Melayu, Iban, Bidayuh dan Cina tetapi hubungan seluruh warganya seperti sebuah keluarga.

“Contohnya, masyarakat Iban sangat terkenal dengan sikap peramah, mesra dengan orang luar dan ringan tulang membantu guru mengangkut barang dari perahu ke kuarters tanpa mengharapkan balasan.

“Jika melalui kawasan rumah panjang mereka pula, tetamu sering diajak singgah.

“Selain itu, saya juga berpeluang belajar bahasa, budaya serta merasa makanan orang Iban pedalaman seperti ikan kelah pansuh dan buah-buahan hutan yang sedap, yang tiada di Semenanjung seperti Uchong,” katanya.

Beliau turut mengambil masa tiga tahun memahami bahasa Iban.

Biarpun belum fasih untuk bertutur tetapi beliau teruja.

“Dari segi sumber air dan elektrik pula semuanya lengkap cuma capaian telekomunikasi tiada dan perlu bergantung pada rangkaian internet, ConnectMe untuk berhubung dengan dunia luar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya