SHIKA: Bilangan mangsa hilang dalam gempa bumi berukuran 7.5 magnitud yang melanda Jepun pada permulaan tahun baharu meningkat tiga kali ganda kepada 323 orang manakala jumlah kematian meningkat kepada 168.
Keadaan salji lebat turut menyukarkan usaha bantuan selama seminggu dengan lebih 2,000 orang masih terputus hubungan dan ramai yang lain terpaksa berlindung di tapak kecemasan yang sesak.
Senarai baharu yang diterbitkan oleh wilayah Ishikawa di tengah Jepun hari ini menunjukkan jumlah orang hilang meningkat daripada 31 kepada 281 di Wajima, salah sebuah tempat paling teruk dilanda gempa bumi, meranapkan berpuluh-puluh rumah dan kebakaran besar yang memusnahkan kawasan yang luas.
Di bandar Suzu di wilayah itu, seorang wanita berusia 90-an dilaporkan berjaya bertahan selama lima hari di bawah runtuhan bangunan sebelum diselamatkan pada Sabtu lalu.
“Tunggu di situ! Anda akan baik-baik saja! Kekal positif!,” para penyelamat memanggil warga emas itu yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.
Seorang lagi mangsa, Naoyuki Teramoto, 52, memberitahu, tiga daripada empat mayat anaknya ditemukan di bandar Anamizu.
“Kami merancang untuk pergi ke Izu,” kata Teramoto kepada sebuah stesen televisyen, NTV mengenai sebuah pusat peranginan mata air panas yang terkenal selepas anak perempuannya lulus peperiksaan masuk sekolah menengah.
Kerajaan wilayah Ishikawa memberi amaran, hujan setiap hari juga meningkatkan risiko tanah runtuh di kawasan terjejas manakala salji lebat lebih 10 sentimeter di beberapa tempat boleh menyebabkan lebih banyak bangunan runtuh.
Kira-kira 18,000 isi rumah di wilayah Ishikawa kekal tanpa bekalan elektrik pada hari ini manakala lebih 66,100 isi rumah terputus bekalan air sejak semalam.
Bagi 28,800 orang yang berkumpul di pusat perlindungan kerajaan, ramai berdepan dengan situasi tidak mempunyai bekalan air, elektrik dan pemanas yang mencukupi.
“Kematian berkaitan bencana mesti dicegah dalam apa jua keadaan. Saya mahu memperbaiki persekitaran yang buruk di kawasan perlindungan,” kata Gabenor Ishikawa, Hiroshi Hase kepada penyiar NHK.
“Keutamaan pertama ialah menyelamatkan orang di bawah runtuhan dan segera mencapai komuniti terpencil,” kata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida kepada NHK.
Kishida menambah, kerajaan mengerahkan pelbagai helikopter polis dan bomba serta kumpulan kecil tentera untuk berjalan kaki serta berharap sampai ke komuniti terpencil.
Jepun mengalami beratus-ratus gempa bumi setiap tahun, walaupun kebanyakannya tidak menyebabkan kerosakan kerana kod struktur bangunan yang ketat dilaksanakan selama lebih empat dekad.
Tetapi banyak struktur bangunan yang lebih tua terutamanya dalam komuniti di kawasan luar bandar seperti Noto.
Jepun dihantui oleh gempa bumi mega pada 2011 yang mencetuskan tsunami menyebabkan kira-kira 18,500 orang mati atau hilang dan menyebabkan malapetaka nuklear di loji Fukushima.-AFP