BAITULMUQADDIS: Peperangan Israel ke atas Gaza sudah berlangsung selama 102 hari dan memasuki fasa ketiga yang membunuh sekurang-kurangnya 24,285 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 61,154 orang.
Menurut laporan The Arab News, pada permulaan perang, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant menetapkan rancangan ketenteraan Israel sebagai terdiri daripada tiga fasa.
Fasa pertama berlaku sebelum Israel memulakan operasi daratnya, dan terdiri daripada serangan udara dan artileri, kebanyakannya tertumpu di utara Gaza.
Termasuk dalam fasa ini ialah 300,000 tentera simpanan Israel dipanggil, mengumpulkan tenteranya di sempadan Gaza dan menuntut pemindahan 1.2 juta penduduk Gaza dari utara ke bahagian selatan Semenanjung.
Fasa kedua bermula pada 27 Oktober lalu dengan Israel melancarkan operasi daratnya di Gaza, memotong kawasan kepungan itu kepada dua dengan serangan udara maut membunuh ramai orang awam Palestin dan kemudahan perubatan terpaksa ditinggalkan selepas kehabisan bekalan operasi seperti bahan api.
Pada Disember lalu, stesen penyiar milik Israel, Kan, menyatakan bahawa tentera sedang bersiap untuk memasuki fasa ketiga.
Bagaimanapun, Israel meluaskan serangan daratnya ke Khan Younis di selatan Gaza dan kem pelarian Bureij di tengah Gaza.
Fasa tiga ditetapkan bermula pada bulan ini dengan Amerika Syarikat menetapkan matlamat untuk Israel menamatkan operasi pertempuran intensiti tingginya menjelang akhir Januari.
Israel juga menarik balik lima briged tempur dari kawasan kepungan itu, namun, pada Isnin lalu menarik balik divisyen ke-36nya untuk tujuan rehat, latihan serta meninggalkan tiga divisyen untuk operasi pertempuran.
Gallant juga mengumumkan bahawa operasi intensif di utara Gaza ditamatkan, menunjukkan bahawa operasi itu juga akan berakhir tidak lama lagi di selatan.
“Di bahagian utara Semenanjung, fasa ini berakhir. Di selatan Gaza, kita akan mencapai pencapaian ini dan (fasa intensif) akan berakhir tidak lama lagi,” katanya.
Bagaimanapun, operasi tempur di Khan Younis di selatan dan kawasan tengah Gaza menyaksikan tentangan sengit daripada pejuang Hamas.
Israel setakat ini gagal untuk menghapuskan sasaran utamanya, Yahaya Sinwar yang mengetuai sayap bersenjata Hamas, Briged Izz ad-Din al-Qassam.
The Wall Street Journal melaporkan bahawa Israel sedang memikirkan operasi untuk merampas bandar Rafah di selatan Gaza, satu-satunya lintasan sempadan terbuka yang membolehkan bantuan memasuki kawasan itu, yang berada di ambang kebuluran.
Operasi sedemikian akan melibatkan gerakan ketenteraan intensiti tinggi yang mencirikan fasa kedua rancangan Israel.
Fasa ketiga mungkin akan dilaksanakan di bahagian berlainan pada masa yang berbeza, dan akan lebih lama daripada dua yang pertama, dengan seorang pegawai memberitahu Reuters bahawa peperangan ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan, dan melibatkan misi pembersihan yang sengit.
Ia belum diketahui lagi apa rancangan Israel berikutan tamatnya operasi ketenteraan di enklaf itu, dengan Netanyahu dilaporkan enggan membentangkan rancangan berhubung isu kabinet dalaman.
Akhirnya, operasi ketenteraan Israel telah dicirikan oleh tuduhan jenayah perang, dengan kes ICJ sedang berjalan atas dakwaan pelanggaran konvensyen pembunuhan beramai-ramai.