MOSCOW: Sebuah pesawat Russia yang dipercayai membawa enam penumpang terhempas di pergunungan timur laut Afghanistan, menurut Agensi Pengangkutan Udara Rosaviatsia.
Kata agensi persekutuan itu, pesawat Falcon 10 pada hilang dari radar dan komunikasi hilang sejak petang semalam.
“Menurut maklumat awal, enam orang berada dalam pesawat berkenaan, empat anak kapal dan dua penumpang,” kata agensi itu.
Pesawat perniagaan binaan Perancis dua enjin itu yang dimiliki oleh sebuah syarikat bernama Athletic Group dan seorang individu persendirian sedang dalam penerbangan dari India ke Uzbekistan dan Rusia.
Agensi itu menambah, usaha mencari pesawat itu diteruskan.
Ketua Jabatan Penerangan Wilayah di Afghanistan, Zabihullah Amiri memberitahu AFP, pesawat itu jatuh di wilayah Badakhshan yang bersempadan dengan China, Tajikistan dan Pakistan.
“Pesawat itu terhempas, tetapi lokasi belum diketahui lagi. Kami menghantar pasukan tetapi mereka masih belum tiba.
“Kami dimaklumkan oleh penduduk tempatan pada waktu pagi,” katanya.
Kawasan nahas adalah lapan jam perjalanan darat dari ibu kota wilayah Faizabad, kata Zabihulllah.
Banjaran pergunungan Hindu Kush melintasi wilayah itu yang merupakan rumah kepada puncak tertinggi Afghanistan, Gunung Noshaq pada ketinggian 7,492 meter.-AFP