Elak stres menjelang peperiksaan akhir

Elak stres menjelang peperiksaan akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK lama sahaja lagi, peperiksaan akhir tahun bakal menjelma.

Tentu anak-anak sudah mula mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan untuk mendapat keputusan yang cemerlang.

Bagaimanapun, dalam kesibukan melakukan persediaan itu, murid-murid diingatkan agar menguruskan emosi dengan baik terutamanya pada minit-minit terakhir ini.

Kaunselor Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 5, Gurun, Mohamad Ridzuan Mihat berkata, murid-murid perlu menguruskan emosi dengan baik agar dapat fokus kepada pembelajaran serta mengelakkan stres.

“Stres sebenarnya bukan sahaja berunsur negatif. Malah kadangkala tekanan ini bersifat positif dan menggalakkan murid untuk bekerja lebih keras.

“Namun, sebagai guru bimbingan dan kaunseling kami sentiasa mengingatkan tentang kepentingan menjaga emosi menjelang peperiksaan.

“Kenal pasti degupan jantung, corak tidur, gaya pemakanan dan gaya hidup yang boleh mempengaruhi stres,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, sekiranya tekanan itu tidak diuruskan atau dibendung ia boleh menjurus ke arah keresahan
melampau dan yang paling ditakuti sekiranya murid terjerumus ke dalam kemurungan.

Oleh itu katanya, bagi mengelakkan perkara tidak diingini itu berlaku, murid sepatutnya tidak memulakan ulang kaji pada saat-saat akhir.

“Masa yang sangat singkat pastinya akan menyebabkan murid menjadi gelabah dan emosi tidak tenteram.

“Sehebat manapun kaedah atau kemahiran belajar yang ditampilkan akan binasa jika murid menangguh sehingga ke saat akhir untuk memulakannya,” katanya.

ULANGKAJI EFEKTIF
Mengulas mengenai ulangkaji efektif, kata guru ini, ia bergantung kepada diri dan gaya pembelajaran murid tersebut.

Namun, sebagai perkongsian, murid boleh memperbanyakkan latihan dan ulang kaji soalan-soalan yang lepas.

“Berdamping dengan dengan guru dan rakan-rakan yang terbaik. Usah malu. Malulah sekejap untuk
mendapatkan ilmu sebelum malu yang lebih besar sekiranya gagal di dalam peperiksaan nanti,” tegasnya.

Sebagai tambahan, dengan kecanggihan teknologi pada masa kini menjadi nilai tambah kepada murid untuk belajar dan mengulang kaji dengan lebih baik.

Murid-murid disarankan untuk menggunakan semua medium untuk melakukan ulangkaji sama ada aplikasi Youtube atau Tiktok.

Kedua-dua aplikasi berkenaan berguna untuk mencari tips dan teknik menghafal saat akhir dan teknik mencatat nota saat akhir.

Malah, terdapat juga teknik bacaan pantas yang efektif.


BELAJAR BERKUMPULAN

Antara kaedah lain yang boleh dipratikkan adalah belajar secara berkumpulan.

Belajar berkumpulan sememangnya sangat berkesan untuk saat-saat akhir seperti ini.

“Sentuhan-sentuhan ajaib rakan-rakan kadangkala membantu murid untuk memahami ilmu dan pengajaran guru.

“Malah idea ‘gila-gila’ rakan kadangkala melekat di minda.

“Kadangkala rakan-rakan ini mempunyai cara penerangan yang lebih mesra dan dekat berbanding dengan
guru-guru,” jelasnya lanjut.


PERANAN IBU BAPA

Bagi peranan ibu bapa pula sebenarnya sangat luas.

Malah, terlalu banyak teori ibu bapa yang boleh dipelajari, namun sebenarnya hanya ibu bapa itu sendiri yang mengenali anaknya.

Oleh yang demikian, ibu bapa hendaklah cuba sedaya upaya menunjukkan bahawa anak-anak sedang dibantu dan diberi sokongan.

“Kadangkala walaupun dengan hanya sebuah doa mampu menyumbang kepada kejayaan anak-anak. Jadi para ibu bapa usah jemu berusaha dengan ikhlas demi kejayaan anak-anak,” sarannya.

Konklusinya, murid boleh membina suasana belajar yang teraputik untuk mengulang kaji.

Suasana teraputik adalah suasana yang aman damai dan tenang yang membolehkan murid-murid ‘menyerap’ ilmu dengan lebih baik.

Tidak semestinya mewah namun cukup sekadar selesa dengan kelengkapan belajar yang mencukupi mengikut kemampuan keluarga.

“Menjelang peperiksaan yang bakal tiba ini saya secara peribadi berpendapat muridmurid perlu ambil serius dengan persiapan yang telah atau belum mereka lakukan.

“Ingat semula matlamat murid. Teruskan usaha. Lakukan penilaian berdasarkan pencapaian yang lepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya