Dua tahun berpura-pura hidup bahagia

Dua tahun berpura-pura hidup bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKAHWINAN merupakan sebuah komitmen seumur hidup yang tidak mudah dijalani.

Pasti ada masalah yang terjadi. Berdamai dengan masalah dan terus berusaha mencari penyelesaian antara yang dilakukan kebanyakan pasangan.

Salah satunya berpura-pura bahagia hanya kerana mahu memenuhi harapan dan jangkaan orang lain.

Pun begitu, sampai bila suami atau isteri mahu dan mampu menyembunyikan masalah mereka.

Minggu ini saya kongsikan kisah Sha (bukan nama sebenar) yang pernah cuba mempertahankan rumah tangga dan menjadi isteri berpura-pura bahagia di hadapan orang lain selama dua tahun.

Sha yang saya temui baru-baru ini berkata, dia pura-pura bahagia demi anak dan keluarga, meski suaminya curang.

Kata Sha, dia sering mahu terlihat ceria di hadapan orang lain meski ketika itu sudah tawar hati terhadap suami.

“Selalunya ketika bersama rakan-rakan setiap kali keluar saya dan suami tidak memperlihatkan memiliki masalah dalam rumah tangga.

“Senyum lebar sehingga ada antaranya iri hati kerana berasakan kami pasangan bahagia,” Sha memulakan cerita.

Berdasarkan pengalaman, kata Sha tidak salah menjadi pasangan yang selalu terlihat bahagia.

Tetapi di titik tertentu, tindakan itu hanya merosakkan jiwa dan raga. Kata wanita berusia
pertengahan 30an itu, apa yang berlaku kepadanya adalah bukti nyata.

Hanya kerana selalu berpura-pura bahawa rumah tangga dia dan suami, Amirul, (bukan nama sebenar) baik-baik sahaja, dia sendiri hampir alami tekanan jiwa.

Berpura-pura bahagia itu amat meletihkan. Emosinya sering terganggu.

“Mungkin awalnya kami anggap pura-pura bahagia untuk kebaikan diri sendiri dan keluarga. Namun sampai ke mana pura-pura itu harus dibawa,” katanya.

Lebih-lebih lagi bertahan dengan seseorang yang jelas menduakannya. Bercerita lanjut mengenai perkenalannya dengan Amirul, kata Sha, ia adalah hubungan yang diinginkan ramai orang.

“Hubungan kami bermula sejak di zaman universiti dan sering mencuri tumpuan. Kami dianggap pasangan sempurna, merpati dua sejoli.

“Rata-rata mahu melihat hubungan kami berakhir sehingga ke jenjang pelamin,” ujarnya.

Dari situ, tanpa disedari kata Sha, dia dan Amirul beradaptasi dengan jangkaan orang lain, bukan atas keinginan sendiri.

“Kami terus berusaha untuk terlihat sempurna di hadapan kawan-kawan dan ahli keluarga. Dari zaman bercinta sehinggalah terbawa-bawa ke alam rumah tangga,” tambahnya lagi.

Semasa bercinta dan beberapa bulan perkahwinan segalanya indah belaka.

Tetapi memasuki enam bulan usia perkahwinan Sha sudah berasa tidak bahagia. Ini kerana dia mula terhidu perubahan sikap Amirul.

Amirul yang dia kenali sebagai lelaki setia dan penyayang, berubah sekelip mata selepas pertemuan semula dengan bekas kekasihnya, Munira, (bukan nama sebenar).

Sha tidak menyangka, kehadiran wanita itu semasa majlis persandingan mereka adalah titik permulaan kepada kehancuran rumah tangga dibina.

Walaupun sedar akan kecurangan suami, Sha cuba buat-buat biasa dan masih berlagak bahagia semata-mata kerana ketika itu dia baru dua minggu mengandung benih Amirul.

Sha hanya cuba menyakinkan diri sendiri dan orang sekeliling bahawa kehidupan rumahtangganya baik-baik sahaja.

Tidak hanya tampil ceria dan gembira di majlis-majlis dihadiri, Sha juga banyak berkongsi gambar-gambar yang memaparkan kebahagiaan rumahtangganya di media sosial.

Namun kata Sha, semakin dia berusaha untuk terlihat bahagia, hatinya semakin sakit.

Seperti bangkai, penipuan disembunyikan itu, lama kelamaan tercium juga baunya.

Ketika sudah tercium, tidak ada lagi rasa simpati.

Tambah Sha, awalnya dia tidak merasa apa-apa terhadap jangkaan orang lain kepada hubungan mereka, namun pada akhirnya memakan diri.

Harapan secara berlebihan daripada orang sekeliling membuatkan dia tertekan.

Kemuncaknya apabila dia melahirkan Iwan, (bukan nama sebenar). Tiada sebarang reaksi gembira terpancar pada wajah Amirul sebaik dia berkongsi berita baik itu.

Seminggu, sebulan dan genap setahun usia Iwan. Namun layanan Amirul kepada Iwan tetap seperti orang asing.

Di hadapan kawan-kawan dan ahli keluarga, Amirul berlagak seperti biasa. Seorang suami dan bapa yang penyayang.

Sejak itu, pertengkaran antara mereka jadi makanan harian.

“Saya dan Amirul sepakat tinggal berasingan penghujung 2022 untuk mencari ketenangan. Kami berusaha memastikan agar ahli keluarga terutamanya tidak tahu kami tidak lagi tinggal sebumbung,” katanya.

Kata Sha, menjelang usia Iwan dua tahun rumah tangga mereka yang pura-pura bahagia tidak dapat diselamatkan lagi.

Penghujung Disember 2022, dia minta dilepaskan kerana sudah tidak sehaluan dan sukar untuk memenuhi titik penyelesaian dalam rumah tangga.

Selepas berpisah Sha menyedari bahagia atau sedih itu dicipta sendiri, bukan orang lain.

Kepada isteri senasib, kata Sha, usah berpura-pura bahagia hanya untuk orang lain. Fikirkan diri sendiri, kerana rumah tangga dijalani mereka yang bergelar suami dan isteri bukan orang lain.

Disebabkan itu jugalah, Sha minta dilepas dengan cara baik. Bagi Sha perceraian menjadi solusi terbaik bagi dia dan Amirul untuk mengelakkan daripada masalah berterusan di samping menyeksa batin masing-masing.

“Pilih membahagiakan, tidak mensia-siakan masa dan kudrat, juga yang tidak mengocak ketenangan jiwa,” ujarnya penuh makna sebelum mengakhiri pertemuan lewat petang yang diiringi hujan gerimis itu.

Dalam Islam sendiri perceraian adalah diharuskan namun perkara dibenci Allah SWT.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya