Diplomat antarabangsa mahu perang Israel-Hamas henti merebak

Diplomat antarabangsa mahu perang Israel-Hamas henti merebak ke wilayah lain

SAUDARA-mara meratapi kehilangan orang tersayang mereka di sebuah hospital, Khan Younis di selatan Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Diplomat antarabangsa terkemuka pada waktu ini sibuk membincangkan strategi untuk mengekang perang Gaza daripada merebak ke luar Israel dan wilayah Palestin.

Hal ini setelah tepat tiga bulan selepas bermulanya konflik di antara tentera Israel dan pejuang Hamas, melibatkan kematian beribu-ribu tentera dan orang awam.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dan diplomat tertinggi Kesatuan Eropah, Josep Borrell, cuba memadamkan limpahan perang selama tiga bulan itu daripada merebak ke Lubnan, Tebing Barat dan laluan perkapalan Laut Merah.

TEMBAKAN MERENTASI SEMPADAN

Setakat ini, Israel dan Hezbollah sering melakukan tembakan merentasi sempadan Lubnan, Tebing Barat pula berkobar-kobar dengan api kemarahan dan puak Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yaman berazam untuk meneruskan serangan ke atas perkapalan Laut Merah sehingga Israel berhenti mengebom rakyat Palestin di Gaza.

Blinken kini berada di Amman, Jordan, selepas singgah di Turkiye dan Greece. Borrell pula dalam lawatan selama tiga hari ke Lubnan iaitu pada 5 hingga 7 Januari.

Blinken bertemu pemimpin Turkiye dan Greece pada Sabtu lalu sebagai permulaan lawatannya selama seminggu dan merancang untuk ke Israel, Tebing Barat, Jordan, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Mesir.

Di Istanbul, Blinken mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan dan Presidennya, Tayyip Erdogan, seorang pengkritik keras terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza.

Kedua-dua pemimpin itu memberitahu pemberita keutamaan mereka adalah memadamkan limpahan daripada pertempuran antara Israel dan Hamas.

“Kami mempunyai tumpuan yang kuat untuk menghalang konflik ini daripada merebak,” kata Blinken kepada pemberita sebelum menuju ke Jordan dari Chania, Greece, dalam lawatan keempatnya ke rantau itu sejak 7 Oktober lalu, apabila Hamas melancarkan serangan rentas sempadan ke atas Israel.

LERAIKAN PEJUANG HAMAS
Sementara itu, jurucakap tentera Israel, Laksamana Daniel Hagari berkata, tentera Israel menyelesaikan rangka kerja tentera pejuang Hamas di utara Gaza dan membunuh kira-kira 8,000 pejuang di kawasan itu.

“Kami kini memberi tumpuan untuk meleraikan pejuang Hamas di tengah dan selatan jalur (Gaza).

“Pertempuran akan berterusan sepanjang 2024. Kami beroperasi mengikut rancangan untuk mencapai matlamat perang, untuk membongkar Hamas di utara dan selatan,” kata Hagari.

Pengeboman dan pencerobohan Israel ke Gaza bermula selepas militan Hamas dari jalur itu menyerang Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang dan menjadikan 240 tebusan, menurut pegawai Israel.

Lebih 100 tebusan masih dipercayai ditahan oleh Hamas.

Serangan Israel yang bertujuan untuk menghapuskan Hamas membunuh 22,722 rakyat Palestin, menurut pegawai kesihatan Palestin.

Angka mangsa Kementerian Kesihatan Palestin tidak membezakan antara pejuang dan orang awam, tetapi kementerian menyatakan bahawa 70 peratus daripada kematian Gaza adalah wanita dan orang di bawah 18 tahun.

Pertempuran itu menyebabkan kebanyakan 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, dengan banyak rumah dan infrastruktur awam ditinggalkan di runtuhan di tengah-tengah kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan.

PERTEMPURAN HARI SABTU

Pada Sabtu lalu, pertempuran tetap berlaku di Gaza terutamanya di dalam dan berhampiran bandar selatan Khan Younis di mana tentera Israel berkata, pihaknya membunuh anggota Hamas di kawasan padat dengan penduduk.

Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan berlaku tembakan dahsyat berhampiran Hospital Al-Amal di Khan Younis.

Agensi berita rasmi Palestin, WAFA pula berkata, serangan udara Israel ke atas bangunan kediaman pada malam Sabtu membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan 50, dan satu lagi serangan ke atas sebuah sekolah di tengah Gaza mengorbankan seramai empat orang.

Tentera Israel berkata, komandonya membunuh beberapa pejuang dan menemukan peralatan ketenteraan yang digunakan oleh Hamas.

Berdiri di luar bilik mayat di Khan Younis, Mahmoud Awad yang berusia 11 tahun berkata, serangan udara Israel membunuh ibu bapa dan adik-beradiknya.

“Kami berada di kem pelarian al-Shati dan mereka menurunkan risalah mengatakan Gaza adalah medan perang, jadi, kami melarikan diri ke Khan Younis kerana ia adalah tempat yang selamat dan mereka masih mengebom kami,” katanya.

Israel menafikan menyasarkan orang awam dan berkata, pejuang Hamas menyembunyikan diri mereka dalam kalangan penduduk awam, menjalankan kerja menerusi terowong di bawah kemudahan-kemudahan awam seperti hospital.

Hamas yang disokong oleh Iran dikatakan bersumpah untuk memusnahkan Israel, menafikan menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya