PETALING JAYA: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia mengakui dirinya tidak begitu selesa selepas matanya terkena bulu tangkis pukulan lawan sehingga mereka tumpas di peringkat separuh akhir Terbuka India kelmarin.
Aaron-Wooi Yik menjadi wakil tunggal negara di peringkat separuh akhir dinafikan pasangan tuan rumah, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty untuk ke final selepas tumpas dengan keputusan 18-21, 14-21.
Insiden bulu tangkis terkena mata Aaron pula berlaku di set kedua ketika pasangan negara itu sedang mendahului 13-12.
Pertarungan di hadapan jaring menyaksikan Chirag meluru melakukan pukulan yang menyaksikan bulu tangkis tepat mengenai mata kiri Aaron.
Biarpun Chirag memohon maaf dan mengakui tindakannya itu adalah tidak sengaja, namun kesannya ketara apabila Aaron tidak dapat beraksi dengan baik yang menyaksikan Malaysia gagal ke pentas final.
“Saya rasa semuanya (keadaan mata) okay. Saya rasa insiden itu tidaklah memberi kesan sepenuhnya tetapi saya tetap rasa ia mengganggu saya.
“Saya rasa kami bermula dengan baik di set pertama, tetapi sebab di set kedua, keadaan perlawanan tidak memihak kepada kami, jadi ia bertukar menjadi satu kekurangan buat kami,” jelas Aaron selepas tamat perlawanan.
Untuk rekod, Aaron dan Wooi Yik merupakan naib juara edisi lalu apabila mereka tewas kepada pasangan China, Wang Chang-Liang Wei Kang di pentas final.
Ini juga merupakan aksi terakhir Aaron dan Wooi Yik untuk bulan Januari memandangkan mereka tidak akan menyertai Kejohanan Masters Indonesia yang akan berlangsung pada minggu hadapan serta Masters Thailand pada minggu seterusnya.