Biras adu domba, keluarga kucar-kacir

Biras adu domba, keluarga kucar-kacir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkahwinan bukan hanya melibatkan pasangan suami isteri sahaja, tetapi juga keluarga kedua-dua pihak.

Jika kita tidak mempunyai hubungan baik dengan keluarga pasangan terutama ibu bapa mentua, pastinya sesuatu hubungan itu menjadi sukar.

Justeru, sebagai orang baru dalam keluarga, kita seharusnya mempunyai usaha untuk menambat hati keluarga pasangan.

Jika tidak, lebih baik kita berfikir semula tentang pilihan yang dilakukan.

Minggu ini saya kongsikan dilema Faridah (bukan nama sebenar) yang sebelum ini hidup harmoni dalam keluarga suami, tetapi kini kucar-kacir dan penuh kebencian.

Ketidakharmonian itu berlaku setahun lalu selepas kehadiran Mira (bukan nama sebenar) menantu baru dalam keluarga.

Mira yang merupakan isteri kepada adik bongsu suami Faridah mempunyai sikap suka mengadu domba dan menyebar fitnah.

Menyingkap semula hubungannya dengan Akmal (bukan nama sebenar) anak ketiga dalam keluarga, kata wanita berusia 38 tahun itu, dia sememangnya bukan menantu pilihan.

Namun, tidaklah sampai dibenci mentua.

Dia dilayan biasa seperti anak menantu orang lain. Tidak pula disayangi atau disanjung berlebih-lebihan.

Perkenalan dengan Akmal adalah melalui orang tengah iaitu sahabat baik lelaki itu.

Awalnya, dia ragu-ragu untuk berkenalan apa lagi rapat dengan lelaki yang baru setahun kehilangan isteri akibat kemalangan jalan raya itu.

Melihat kesungguhan lelaki itu, Faridah meminta sedikit masa untuk mereka mengenali hati budi masing-masing.

Sepanjang tempoh berkenalan, segalanya berjalan lancar. Mereka dapat merasakan keserasian antara satu sama lain.

“Saya tidak suka lama-lama dalam sesebuah hubungan memandangkan usia yang sudah lewat ketika itu. Selepas berbincang dari hati ke hati kami setuju untuk ke peringkat lebih serius iaitu perkahwinan,” ujarnya.

Pada awalnya, hubungan mereka dibantah kedua ibu bapa Akmal.

Ini kerana usia Faridah yang tiga tahun tua daripada anak mereka.

Namun, kerana mahu melihat Akmal kembali ceria dan gembira, akhirnya kedua-duanya akur.

Selepas berkahwin, bermulalah episod sebenar Faridah sebagai isteri dan menantu dalam sebuah keluarga baru.

“Saya sedar, saya bukan menantu pilihan. Namun saya berusaha untuk menambat seluruh ahli keluarga suami, terutama ibu bapa mentua.

“Namun, saya tidak pernah berpura-pura di hadapan mereka. Saya tetap menjadi diri sendiri,” imbasnya.

Berkat kesabaran, akhirnya selepas lima tahun hidup berumahtangga, barulah Faridah benar-benar selesa menjadi sebahagian keluarga suami.

Sejujurnya, Faridah senang dengan hubungan ibu bapa dengan anak menantu yang datang dari pelbagai latar belakang itu.

Bukan sahaja hubungan akrab dilihat antara mereka adik-beradik, bahkan aura sama dialirkan setiap kali Faridah bersama ipar duai dan biras-birasnya.

Pun begitu, kebahagiaan keluarga itu hanya bertahan seketika cuma selepas kehadiran Mira.

Sikap buruk birasnya itu bukan sahaja telah mengubah layanan ibu bapa mentua terhadap anak menantu, bahkan mencetuskan pertelingkahan
sesama adik-beradik dan ipar duai.

“Setiap kali pulang ke rumah orang tua suami, ibu mentua mula membandingkan saya dengan anak menantu lain.

“Ibu mentua mula mengungkit sayalah punca anak lelakinya tidak mempunyai zuriat dan layak mendapat isteri yang lebih baik,” cerita Faridah.

Layanan Mira yang bermulut manis, sentiasa menghadiah kedua ibu bapa mentua dengan pelbagai barangan mewah, telah mengubah 100 peratus
sikap mereka.

Kedua-duanya bukan sahaja menjadi mata duitan, bahkan mula bersikap pilih kasih antara anak menantu.

Selain Faridah, Salina dan Ima, (bukan nama sebenar) juga adalah menantu dalam keluarga itu.

Razak merupakan abang sulung, kedua Saiful, manakala bongsu Azmi.

Selepas kematian bapa mereka dua tahun lalu, atas persetujuan semua, Razak yang sebelum ini tinggal di bandar pulang ke kampung bersama isteri dan tiga anak dengan niat menjaga ibu mereka.

Razak dibenarkan mendirikan rumah sendiri di tanah bersebelahan rumah ibu.

Sebelum itu tidak pernah timbul isu abang sulung dan keluarganya membina rumah berkenaan, namun disebabkan mulut Mira, adik-beradik lain mula berbunyi.

“Saya tidak sangka, suami turut terpengaruh dengan Azmi yang telah diracuni fikirannya oleh Mira.

“Mereka sepakat untuk sama-sama menuntut hak ke atas tanah berkenaan,” cerita Faridah.

Mereka mendakwa Razak cuba membolot harta peninggalan arwah bapa sendirian.

Disebabkan itu juga, timbul perbalahan dan rasa tidak puas hati sesama mereka.

Tidak habis di situ sahaja, Mira turut menjadi punca Saiful dan Ima hampir bercerai-berai.

Mira didakwa cuba menfitnah Ima mempu­nyai hubungan sulit di tempat kerja.

“Saya sedih dan masih tertanya-tanya bagaimana sebuah keluarga harmoni sebelum ini jadi kucar kacir hanya kerana seorang perempuan.

“Saya sendiri tidak pasti, sampai bila mereka adik-beradik hidup dengan kebencian. Setiap kali saya mahu membincangkan perkara itu, saya diminta tidak campur tangan,” ujarnya.

Sesungguhnya, Islam melarang perbuatan mengadu domba atau menyebar fitnah ini.

Pengaruhnya menyebabkan kedengkian, salah faham dan kebencian.

Rasululllah SAW sendiri mengumpamakan perbuatan mengadu domba ini seperti sihir kerana tujuan dan natijahnya seperti perbuatan sihir yang merosak hubungan dan menimbulkan permusuhan.

“Mahukah aku khabarkan kepada kamu apa itu sihir? Iaitu perbuatan namimah atau perihal mengadu domba untuk merosakkkan hubungan antara sesama manusia.” (Hadis Riwayat Muslim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya