Bekas PM Pakistan, Imran Khan dan isteri dijatuhkan hukuman

Rasuah: Bekas PM Pakistan, Imran Khan dan isteri dipenjara 14 tahun

IMRAN Khan dan isterinya, Bushra Bibi dijatuhi hukuman penjara 14 tahun atas pertuduhan rasuah.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dijatuhi hukuman penjara selama 14 tahun atas pertuduhan rasuah, sehari selepas dia dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh mahkamah atas pertuduhan membocorkan rahsia negara.

Keputusan itu dibuat mahkamah seminggu sebelum pilihan raya negara berlangsung.

Imran dan isterinya didapati bersalah melakukan rasuah dalam kes membabitkan hadiah yang diterimanya semasa menjadi Perdana Menteri.

Pakistan dijangka menjalankan pilihan raya umum Khamis depan dengan Imran disekat bertanding melalui parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).

“Satu lagi hari yang menyedihkan dalam sejarah sistem kehakiman kita yang sedang dibongkar,” kata jurucakap parti itu kepada media.

Tidak jelas sama ada hukuman terhadap Khan akan dijalankan secara berturut-turut atau serentak berikutan perbicaraan yang diadakan terhadapnya di dalam penjara di mana dia ditahan sejak Ogos lalu.

Tetapi peguamnya, Salman Safdar, mengesahkan kepada AFP, Imran dijatuhkan hukuman bersama isterinya, Bushra Bibi, yang ditahan reman sepanjang perbicaraan.

Salah seorang pasukan peguam Imran, Intazar Hussain Panjutha berkata, Bushra menyerahkan diri kepada pihak berkuasa.

Imran dan Bushra berkahwin pada 2018, beberapa bulan sebelum Imran dipilih sebagai Perdana Menteri.

Kira-kira 127 juta rakyat Pakistan layak mengundi Khamis depan dengan Imran dan partinya menjadi pusat perdebatan.

Semalam, satu letupan bom yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Daesh berhampiran perhimpunan PTI membunuh empat orang dan mencederakan enam yang lain di ibu kota wilayah Balochistan, Quetta.

PTI berkata, tiga aktivisnya terbunuh dalam letupan itu, hanya beberapa jam selepas Imran dijatuhkan hukuman.

Sejak digulingkan pada 2022, Imran terpalit dengan kes mahkamah yang menghalangnya untuk kembali ke pejabat.

Lelaki berusia 71 tahun itu menuduh tentera yang berkuasa mendalangi penyingkirannya dalam konspirasi yang disokong Amerika Syarikat.

Apabila Imran pertama kali ditangkap pada Mei tahun lalu, rusuhan berlaku di seluruh negara.

Beribu-ribu penyokong ditahan, 100 daripadanya sedang menghadapi perbicaraan tertutup tentera.

“Anda perlu membalas dendam untuk setiap ketidakadilan dengan undi anda pada 8 Februari ini,” kata Imran dalam satu kenyataan yang disiarkan pada profil aplikasi X sebagai reaksi terhadap hukuman 10 tahunnya, semalam.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya