SIANG terkenang-kenang, malam termimpi-mimpi. Makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah.
Itulah perumpamaan menggambarkan perasaan lelaki mahupun wanita yang sedang dilamun cinta.
Dek kerana mabuk cinta sampai ada yang rela melakukan apa sahaja. Bergadai nyawa dan maruah, bahkan tanpa sedar ada yang sanggup membuang keluarga.
Minggu ini saya kongsikan kisah Liyana (bukan nama sebenar) yang hampir terjerat dengan cinta lelaki hidung belang.
Namun berjaya diselamatkan selepas berusaha dengan pelbagai cara termasuk berjumpa ustaz.
Kisah Liyana diceritakan ibu angkatnya, yang hanya mahu dikenali sebagai Puan D pada pertemuan dengan saya baru-baru ini.
Wanita pertengahan usia 50-an itu berkata, tujuan dia berkongsi kisah anak angkatnya itu untuk memberi pengajaran kepada wanita, terutama yang berusia lanjut atau ‘andartu’.
Nasihatnya, agar mereka lebih berhati-hati dengan lelaki yang hanya mahu mengambil kesempatan.
Ujarnya, sepanjang tempoh dua bulan Liyana mabuk cinta, kesabarannya banyak diuji.
“Liyana langsung tidak mahu mendengar nasihat saya, bahkan ibu kandungnya sendiri dianggap musuh,” ujarnya.
Puan D berkata, Liyana tetap merasakan apa yang dilakukan itu normal, tetap menurut pandangannya sebagai orang yang lebih tua, ia agak berlebihan dan keterlaluan.
Menceritakan perkenalan Liyana dengan lelaki itu, kata Puan D, dia hanya mengetahui selepas dua bulan mereka menjalinkan hubungan.
Puan D mula perasan dengan perubahan Liyana yang semakin sibuk dengan urusan kerjanya, sering pulang lewat dan tidak lagi melakukan rutin kebiasaannya.
Liyana yang bekerja sebagai salah seorang pegawai eksekutif kanan di sebuah syarikat swasta itu, sebelum itu banyak masa dengan keluarga.
Berbeza selepas mengenali Zafran, masuk kerja awal, balik kerja lewat.
Wang diterima langsung tidak pernah lekat dan sentiasa tidak cukup.
Kata Puan D, walaupun Liyana bukan lahir melalui rahimnya, gerak hati menyatakan, ada sesuatu yang tidak kena kepada anak angkatnya itu.
Selepas didesak, akhirnya Liyana mengakui sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki.
Janji dibuat, pertemuan diatur untuk Liyana memperkenalkan lelaki itu kepada Puan D dan suami serta ibu kandungnya.
“Pada pandangan pertama, saya sudah merasakan sesuatu yang tidak kena. Bukan sahaja daripada segi penampilan, bahkan dalam perbualan sepanjang satu jam saya sudah dapat menghidu sesuatu yang tidak baik,” cerita Puan D.
Susulan daripada pertemuan itu, Puan D meminta suami menyiasat latar belakang Zafran melalui kenalannya.
Ternyata sangkaan Puan D terhadap teman lelaki Liyana tepat sekali.
Rupa-rupanya, Zafran seorang penagih yang bermulut manis. Kereta mewah, rumah besar yang ditunjukkan kepada Liyana selama ini, palsu semata.
Kata Puan D, awalnya terlalu sulit untuk Liyana menerima kenyataan.
Bahkan Puan D dilemparkan pelbagai tuduhan termasuk tidak mahu melihat kebahagiaannya.
Paling membuatkannya berkecil hati dengan kata-kata yang dilempar Liyana kepadanya bahawa dia hanya seorang ibu angkat dan tidak berhak terhadap pilihan dan masa depannya.
Berhari-hari Liyana menunjukkan sikap protes kerana perhubungannya dengan Zafran tidak direstui.
Namun dalam masa sama, Puan D tidak berputus asa.
Selain mencari bukti kukuh, dalam setiap sujud, dia sentiasa berdoa agar Liyana cepat sedar.
Sehinggalah pada suatu hari Puan D mengaturkan pertemuan dengan seorang sahabat lamanya yang juga seorang ustaz dan menceritakan siapa lelaki itu sebenarnya.
Cerita Puan D, dia tidak menyalahkan seratus peratus kepada Liyana atas apa yang berlaku.
Ini kerana kehidupan silam Liyana tidak seperti orang lain. Dia kehilangan kasih sayang seorang ayah ketika usianya 15 tahun.
Selepas bapa berkahwin lain dan menceraikan ibunya, Liyana dan dua adiknya berusia 10 dan lapan tahun tinggal dan dijadikan anak angkat.
“Ketika itu saya merupakan jiran mereka. Disebabkan kasihankan Liyana dan adik-adiknya yang masih kecil, dengan persetujuan suami, kami mengambil ibu Liyana sebagai pembantu rumah.
“Kami telah anggap mereka empat beranak seperti ahli keluarga sendiri,” cerita Puan D.
Sambung Puan D, dia tidak menolak kemungkinan dalam usia Liyana memasuki 42 pada tahun ini, tentu sekali dia dahagakan belaian kasih dan cinta tulus daripada seorang lelaki.
Kehadiran Zafran yang disifatkan sebagai lelaki penyayang dan bermulut manis cepat mengisi kekosongan hatinya.
Namun Puan D tetap meletakkan keyakinan suatu hari, sampai masa, Liyana akan bertemu jodoh dengan lelaki yang baik.
Mengakhiri perbualan, Puan D sempat menitip pesan, jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah Taala.
Allah mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir.
“Gunakanlah sebaik-baiknya bagi mengungkapkan cinta yang hadir.
“Insya-Allah, saya sentiasa mendoakan Liyana dipertemu jodohnya suatu hari nanti.
“Bukan mahu memuji, namun jujur Liyana seorang anak yang baik, lurus dan jujur. Saya yakin, Allah pasti akan mempertemukannya dengan lelaki yang mampu menjadi imamnya suatu hari nanti,” ujarnya penuh harapan.
Hakikatnya, setiap insan memiliki perasaan dicintai dan mencintai. Rasa cinta yang datang akan membawa 1,000 kemanisan kepada mereka. Pun begitu berpada-padalah dalam mencintai sesama manusia.
Sebagaimana Rasullullah SAW bersabda: Cintailah orang yang kamu cinta dengan sewajarnya, boleh jadi suatu hari dia menjadi orang yang kau benci. Dan bencilah kepada orang yang kau benci sewajarnya, boleh jadi suatu hari dia yang kau benci, menjadi orang yang kau cinta. (HR Tirmidzi)