JOHANNESBURG: Afrika Selatan memuji keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Israel harus melakukan segala yang boleh untuk menghalang sebarang tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Bagaimanapun, Presidennya, Cyril Ramaphosa berkata, beliau berharap supaya kes ini akan membawa kepada gencatan senjata.
Menurutnya, ICJ di The Hague juga menjatuhkan penghakiman pertamanya dalam kes penting yang dibawa oleh Afrika Selatan yang turut mengarahkan Israel membenarkan akses kemanusiaan ke wilayah Palestin.
“Hari ini, Israel berdiri di hadapan masyarakat antarabangsa, jenayahnya terhadap rakyat Palestin terbongkar.
“Kami menjangkakan Israel sebagai sebuah negara demokrasi yang memproklamirkan diri dan negara yang menghormati kedaulatan undang-undang untuk mematuhi langkah seperti yang diarahkan, ” kata Ramaphosa dalam ucapan di televisyen negara itu.
Afrika Selatan menuduh Israel melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948 yang ditubuhkan selepas Perang Dunia II dan Holocaust melalui kempen ketenteraannya di Gaza, yang dicetuskan oleh serangan 7 Oktober lalu oleh Hamas.
Mahkamah tidak membuat penghakiman sama ada Israel benar-benar melakukan pembunuhan beramai-ramai atau tidak, tetapi mengeluarkan perintah kecemasan sementara.
Pertuduhan mengenai genosid mengambil proses yang lama iaitu mengambil masa bertahun-tahun.
Dalam pada itu, Kementerian Hal Ehwal Luar Afrika Selatan mengalu-alukan keputusan itu sebagai kemenangan bagi kedaulatan undang-undang antarabangsa dan satu peristiwa penting dalam usaha mencari keadilan untuk rakyat Palestin.
Jelas kementerian itu, memandangkan risiko serius pembunuhan beramai-ramai, negara lain kini harus menghentikan pembiayaan dan berhenti memudahkan tindakan ketenteraan Israel.
Ramaphosa dan pemimpin tertinggi parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memerintah bersorak sorak, menyanyi dan menari selepas hakim membaca perintah itu.
Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan ANC menangguhkan mesyuarat untuk menonton siaran dari mahkamah dan rakaman langsung daripada acara itu menunjukkan tokoh kanan parti dan kerajaan meraikannya.
Afrika Selatan sudah lama menjadi penyokong lantang perjuangan Palestin dengan parti ANC sering mengaitkannya dengan perjuangannya sendiri menentang aparteid.
“Mahkamah membenarkan kami,”kata Ramaphosa.
Di Cape Town dan Pretoria, wartawan AFP mendapati orang ramai berkumpul untuk menonton keputusan itu, yang disiarkan sepenuhnya di saluran televisyen negara.
Ketika hakim ICJ mengumumkan langkah sementara itu, tepukan gemuruh kedengaran dalam kalangan orang ramai terdiri daripada kira-kira 30 orang di sebuah pusat komuniti di Cape Town, sebahagiannya memakai anting-anting dan warna-warni sebagai menyokong Palestin.
“Kami sedang membincangkan sejauh mana ia boleh memberi kesan… Buat masa ini ia adalah satu langkah ke arah yang betul,” kata pelajar perubatan Kwezi Zwane, 24.-AFP