KUALA LUMPUR: Pasti ramai yang kecewa dengan kegagalan dua beregu negara khususnya pasangan No. 4 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terkandas pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, dekat sini, kelmarin.
Namun, insan yang paling kecewa adalah Aaron-Wooi Yik yang menyimpan keinginan cukup tinggi untuk merangkul gelaran di tanah air sendiri.
Di sebalik kekalahan tersebut, beregu No. 1 negara itu sewajarnya diberi kata-kata semangat bagi meningkat keyakinan, ini kerana mereka merupakan gandingan paling konsisten yang Malaysia ada pada ketika ini.
Jika, dinilai pencapaian keseluruhan Aaron-Wooi Yik, banyak yang mereka korbankan buat negara terutama dalam memburu gelaran dunia pertama, dua tahun lalu, dan pada ketika ramai wakil Malaysia tersekat di pusingan awal, merekalah yang sering kali berjuang sendirian sekurang-kurangnya sehingga ke suku akhir pada mana-mana kejohanan dalam Jelajah Dunia.
Justeru, tidak keterlaluan rasanya untuk jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen memberikan mereka ‘rating’ tujuh atau lapan per 10 berdasarkan persembahan Aaron-Wooi Yik untuk penampilan mereka pada Terbuka Malaysia kali ini.
“Untuk ‘rating’, bagi saya dari segi corak permainan yang mereka persembahkan termasuk perkara kecil pada anggapan saya sangat penting, (tanpa mengira) menang atau kalah, mungkin tujuh ke lapan saya bagi mereka,” katanya ketika ditemui pemberita, kelmarin.
Mengulas lanjut mengenai prestasi beregu bimbingannya itu, Bin Shen berkata, Aaron-Wooi Yik masih boleh bermain lebih baik berbanding apa yang mereka pamerkan, kelmarin.
“Bagi saya mereka kalah ketika mata berada di kedudukan 11-10 dalam set ketiga, saya selalu cakap detik itu kita kena pegang, sebaik kita melakukan kesilapan mudah, maka, kita hanya membuka peluang naikkan keyakinan lawan.
“Pada perlawanan tadi (kelmarin), kedua-dua beregu enggan naikkan bola, jadi, detik itu sangat penting kerana sebaik kita berundur sedikit ke belakang, lawan akan lebih berani buat apa yang mereka hendak lakukan.
“Kita pula semakin tertekan dan dari sana ia akan meletakkan kita berada pada situasi yang tidak berpihak kepada kita,” katanya.
Bin Shen memberitahu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik dan Sukan Asia itu bukan tidak pernah berada pada situasi keciciran di belakang lawan dan mereka pernah bangkit menentang.
Jelasnya, bagi mengatasi isu tersebut, beregu negara itu perlu mengendalikan tekanan dengan baik kerana ia akan menjadi kunci kepada kemenangan mereka.
Bercakap mengenai peluang Aaron-Wooi Yik merebut slot Sukan Olimpik di Paris, Julai depan, Bin Shen tidak khuatir mengenai perkara tersebut kerana pasangan No. 4 dunia itu diyakini mampu berbuat demikian.