RAMALAN fesyen 2024 masih menjadi perbincangan di rata-rata platform media cetak dan sosial, hingga ke hari ini.
Pelbagai pandangan dan ulasan diberikan pengkritik dan pemerhati fesyen di samping para peminat di seluruh dunia.
Kali ini, Utusan Malaysia kongsikan lima trend fesyen yang dikenal pasti bakal trending pada tahun ini.
Bagaimanapun, dalam keghairahan mahu tampil cantik dan kacak, jangan pula keterlaluan hingga menjadi mangsa fesyen.
Seperti nasihat pereka fesyen terkenal, Bon Zainal Harun, aspek keselesaan dan kesopanan perlu diberi perhatian ketika bergaya.
Paling penting, usah terikut-ikut dengan trend semasa hingga hilang identiti bangsa dan jati diri.
Reben
Sejak tahun lalu, penggunaan reben boleh dilihat di mana-mana. Bukan sahaja diikat di rambut, kasut, baju, beg tangan, bahkan pada haiwan peliharaan di samping makanan seperti mufin dan ayam goreng.
Kehangatan trend itu diteruskan lagi tahun ini. Tambahan pula, dengan adanya trend coquette yang memfokuskan pada reben sebagai aksesori utama.
Hinggakan, ada yang menyifatkan reben sebagai tumpuan utama fesyen 2024.
Terkini, reben turut menjadi pilihan selebriti terkenal seperti Reese Witherspoon dan Elizabeth Debicki dalam Critics Choice Awards 2024, Ahad lalu.
Corak harimau bintang
Tahun 2024 menyaksikan kebangkitan besar cetakan harimau bintang dalam industri fesyen seluruh dunia.
Usah malu untuk menggayakan semula baju, blazer, seluar, but, beg mahupun topi harimau bintang yang sedia ada dalam koleksi anda.
Corak klasik itu tidak lapuk dek zaman dan akan terus kekal dalam almari pakaian mahu pun sebagai hiasan di rumah.
Beg XL
Selamat tinggal beg tangan bersaiz mikro mini bertatahkan logo jenama mewah. Gaya itu dikatakan tidak lagi trending pada 2024.
Sebaliknya, beg tangan bersaiz besar yang diramal hangat sepanjang tahun ini. Fokus utama bukan pada logo beg, tetapi kualiti dan kehalusan seni pembuatannya.
Era eclectic grandpa
Jika tahun lalu, gaya nenek, coastal grandma aesthetic menjadi pilihan ramai, tetapi 2024 menyaksikan era kegemilangan datuk menerusi gaya retro, eclectic grandpa.
Sarungkan kasut loafer, cardigan kait atau vest bercetak dengan seluar atau blazer kotak di samping topi baseball atau beanie.
Tips penting dalam gaya ini adalah pakaian berlapis-lapis dan gabungan warna serta cetakan berbeza di samping penggunaan aksesori.
Baju T ragbi, polo
Baju T ragbi dan polo diramal popular malah turut dikesan digayakan di pentas fesyen. Kedua-dua helaian itu menyerlahkan lagi gaya British dengan ciri klasik dan malar segar.