25,000 kanak-kanak Gaza yatim piatu

25,000 kanak-kanak Gaza yatim piatu

PEMANTAU Hak Asasi Euro-Mediterranean membayangkan keadaan kanak-kanak di Gaza yang menyedihkan dan terdedah kepada bahaya.​-IRNA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: ­Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean mendedahkan seramai 25,000 kanak-kanak kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa di Gaza akibat di­serang dan dibom tentera Israel.

Menurut badan itu, data tersebut direkod sejak hari pertama Israel memulakan operasi ketenteraan di Gaza pada 7 Oktober lalu.

BERISIKO TINGGI

Kanak-kanak berkenaan juga berisiko tinggi kerana tidak mempunyai akses yang cukup kepada air, makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Rumah mereka musnah dan keluarga mereka berpecah belah.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan bahawa jumlah kematian orang awam mencecah 26, 422 manakala 65,087 cedera sejak perang bermula di Gaza.

Selain kematian, serangan bertubi-tubi ke atas bangunan kediaman, kem pelarian dan hospital menimbulkan kesengsaraan kepada penduduk Gaza.

SERANGAN HARI KE-115

Serangan Israel kini memasuki hari ke-115 dengan rejim Zionis terus membunuh rakyat Palestin yang tidak berdaya walaupun bantahan awam sema­kin meningkat di seluruh dunia.

Dalam perkembangan lain, lebih banyak keluarga Palestin berpindah dari Khan Younis ke Rafah berikutan serangan bertubi-tubi dari tentera Israel.

Ramai memilih untuk menggunakan jalan tidak berturap dan berlumpur untuk mendekati kota Rafah di sepanjang sempadan Mesir atau Deir Al-Balah ke utara.

Baki yang lain menuju ke barat ke kawasan yang dipanggil Al-Mawasi di mana penduduk sesak di kawasan kecil.

Juruelektrik dan bapa kepada empat anak Abu Raouf berkata, keadaan di Al-Mawasi sangat sesak.

“Orang ramai kini kehilangan keupayaan untuk berfikir, keupayaan mereka untuk merasa, mereka bergerak seperti robot, hanya menunggu masa sebelum Israel menghantar kereta kebal ke sini, tidak ada tempat yang selamat,” katanya.

Reem Abu Tair meninggalkan Khan Younis dalam kesejukan bersama tiga orang anak, seorang daripada mereka masih bayi.

“Kami berjaya menyelamatkan nyawa kami, kami terlepas daripada pengeboman dan kemusnahan, namun, kami akan berakhir dalam kesejukan.

“Jadi, jika kanak-kanak tidak mati akibat pengeboman, dia akan mati kerana kesejukan,” kata Reem.

​ISRAEL TERUS BOM HOSPITAL

Pakar perubatan dan penduduk Palestin berkata, Israel terus mengebom kawasan sekitar di dua hospital utama di Khan Younis, menghalang usaha pasukan penyelamat untuk membantu individu yang terperangkap.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra berkata, terdapat kegagalan sepenuhnya sistem penjagaan kesihatan di hospital Nasser dan Al-Amal.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin juga berkata dalam satu kenyataan bahawa pasukan perubatan di Hospital Al-Amal di Khan Younis tidak dapat me­lakukan pembedahan kerana bekalan oksigen habis.

​Dalam pada itu, Israel berkata, ia sedang mengambil langkah untuk memastikan hospital beroperasi dan meminimumkan korban awam.

Mereka menuduh Hamas beroperasi di kawasan berpenduduk padat termasuk di sekitar hospital dan menggunakan orang awam sebagai perisai manusia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya