GAZA: Seramai 10 orang daripada dua buah keluarga yang tinggal dalam sebuah rumah kerana kehilangan tempat tinggal di Rafah adalah antara 135 orang yang terbunuh dalam serangan Israel sejak 24 jam lalu.
Malah, penduduk bandar Gaza selatan itu meningkat kepada lebih sejuta orang apabila ramai yang berpindah dari bahagian lain Gaza untuk mencari tempat perlindungan di sana.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bagaimanapun berkata, mereka sedang meneliti laporan serangan tersebut.
Menurut IDF, roket juga dilaporkan dilepaskan dari Gaza ke selatan Israel.
Penduduk Rafah, Samir Qeshta memberitahu AFP, rumahnya musnah sepenuhnya dalam pengeboman Israel semasa dia dan isterinya keluar.
“Rumah ini melindungi saya dan anak-anak saya… Kami adalah orang yang baik, mereka menyerang kami tanpa amaran terlebih dahulu,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Nimma al-Akhras berada di rumah ketika pengeboman bermula.
“Serangan itu tidak dapat dibayangkan. Kami mula menjerit dan saya tidak boleh bergerak sehinggalah seseorang membawa saya dan meletakkan saya di atas kereta.
“Apa salah kami? Kami hanya duduk. Tidak selamat di dalam rumah mahupun di luar. Mana tempat kami boleh pergi?” soalnya.
IDF dilaporkan berhenti seketika dalam aktiviti ketenteraan di bandar itu untuk tujuan kemanusiaan berbanding serangan sebelum ini.
Israel berkata ia menyasarkan anggota Hamas dan infrastruktur mereka dan cuba meminimumkan korban awam.
Dalam catatan di Telegram, Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra berkata, infrastruktur dan perkhidmatan perubatan di Rafah tidak dapat menangani keperluan kira-kira 1.3 juta orang yang berpindah.
“Rafah mencapai titik kehancuran berikutan kemasukan ratusan ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan keluarga mereka,” katanya.
Doktor di Hospital Nasser di bandar itu berkata, mereka sedang bergelut untuk menyediakan penjagaan dalam sistem penjagaan kesihatan yang runtuh.
“Kebanyakan bekalan perubatan di ICU hilang,” kata Dr Mohammad al-Qidra kepada Reuters.
“Kami tidak mempunyai katil kosong, tiada rawatan. Kebanyakan ubat-ubatan di dalam bilik kecemasan tidak mencukupi untuk pesakit. Kami cuba mencari alternatif,” ujarnya.
Ramai orang yang kehilangan tempat tinggal juga menggunakan wad hospital untuk berteduh.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kurang daripada separuh daripada hospital Gaza berfungsi dan hanya sebahagiannya.
Sangat sedikit ambulans beroperasi di seluruh Semenanjung Gaza, tambah kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas.-AGENSI