PETALING JAYA: Penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dapat menjamin keadilan kepada kedua-dua pasukan dalam apa juga pertandingan pada masa akan datang.
Dengan pengenalan VAR, pastinya peribahasa ‘rumah sudah siap, pahat masih berbunyi’ tidak akan kedengaran dalam apa jua pertandingan yang bakal dianjurkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), selepas ini.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, penggunaan VAR merupakan satu permulaan untuk sukan bola sepak negara dipandang tinggi dan ia juga sudah menjadi satu keperluan memandangkan banyak negara luar menggunakan teknologi berkenaan.
“Perlu diakui VAR sangat membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat di atas padang. Macam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Jumaat lalu, kualiti pengadil menjadi topik perbualan hangat kerana keputusan-keputusan yang tidak konsisten.
“VAR sebenarnya kita boleh kata sudah tiba masanya untuk digunakan dalam Liga M. Teknologi itu diyakini dapat memberi keadilan kepada mana-mana pasukan selain mengelak masalah berbangkit seperti yang terjadi sebelum ini membabitkan mutu pengadilan.
“Biarlah digunakan dalam perlawanan penting sahaja sekalipun seperti pentas final Piala Malaysia, Piala FA dan perlawanan penting, asalkan ada. Jika kita mahu teknologi ini digunakan sepenuhnya dalam Liga M, rasanya belum mampu.
“Maka, kita perlu ikut kemampuan, biar prosesnya berperingkat. VAR sebenarnya kita boleh kata sudah tiba masanya untuk digunakan dalam Liga M. Teknologi itu diyakini dapat memberi keadilan kepada mana-mana pasukan,” kata kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam berkata, VAR sepatutnya bersedia digunakan sebaik aksi Liga Super bermula pada pertengahan April tahun depan.
Dengan penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) pada saingan Liga Super musim depan, secara tidak langsung ia akan membantu mengurangkan kesilapan pengadil.
Bermakna, isu membabitkan mutu atau kualiti pengadilan mungkin akan berkurangan sekali gus pengadil tidak lagi menjadi sasaran serangan penyokong bola sepak tempatan.
Ketika diminta mengulas mengenai pemilihan pengadil untuk perlawanan akhir, Pekan berkata, MFL dan FAM perlu ada satu kriteria khusus untuk pemilihan pengadil bagi mengadili mana-mana perlawanan akhir dalam kancah Liga M.
“Orang kata, biar jelas difahami kebanyakan peminat. Adakah pengadil itu dipilih kerana kualiti sepanjang Liga M, sangat konsisten dan mempunyai markah tinggi atau bagaimana?. Ini semua kena jelas, untuk memastikan dia (pengadil) layak.
“Pengadil juga wajib ada lesen FIFA, bila tiada lesen peminat pasti akan persoalkan kredebilitinya. Biasanya, saya akan pertahankan pengadil, tetapi dalam aksi final Piala Malaysia, memang boleh dipertikaikan. Saya juga bimbang, adakah ini pengadil terbaik yang kita ada,” soal Pekan.-UTUSAN