SOALAN
TAHUN 2023 banyak kenangan pahit berlaku dalam hidup hingga menyebabkan fikiran saya sering terganggu. Risau saya memikirkan kehidupan akan datang.
-SARA, MELAKA
JAWAPAN
Setiap manusia pasti ada kenangan pahit yang pernah mereka lalui. Keperitan dirasai, kadangkala menyebabkan individu tersebut terpenjara dalam kisah silam sehingga membelenggu diri untuk terus mengecapai kehidupan di masa hadapan.
Kisah silam yang melanda diri bukan menjadi penghalang untuk anda meneruskan kehidupan akan datang kerana Allah tidak menilai seseorang pada permulaan kehidupan tetapi di pengakhiran kehidupan mereka.
Tidak kira betapa pahitnya kisah silam tersebut, yang pasti pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali kepadaNya.
Yakinlah jika anda dapat keluar dari belenggu kegelapan ini anda adalah orang yang paling berbahagia dengan hidup anda.
Berikut saya kongsikan bagaimana cara membantu move on dengan kisah silam:
a) Memaafkan diri anda dan orang sekeliling : Meminta maaf dengan diri sendiri dan memaafkan orang sekeliling adalah cara terbaik berdamai dengan takdir. Buang segala kemarahan, kebencian dan dendam yang menyakitkan untuk memberi ketenangan hati dan jiwa yang lebih tenang.
b) Elakkan daripada bersangka buruk dengan kehidupan anda : Yakin bahawa setiap perjalanan
dalam kehidupan dalam jagaanNya. Buang pemikiran negatif yang bermain difikiran dan fokus kembali matlamat anda untuk meneruskan perjuangan hidup.
c) Hargai setiap pengorbanan orang sekeliling : Dapatkan sokongan ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan terdekat sebagai pembakar semangat untuk anda melakukan perubahan.
d) Cari persekitaran yang menenangkan jiwa dan fikiran serta saling menghargai antara satu sama lain.
d) Banyakkan bersabar : Dalam mendepani cabaran dalam kehidupan, anda perlu banyakkan perasaan bersabar dan bersikap lebih tenang. Apabila emosi anda berada dalam keadaan stabil, pasti banyak perkara yang dapat anda selesaikan dengan baik.
e) Menerima kekurangan diri : Ingat bahawa setiap manusia tidak dilahirkan sempurna. Bagaimanapun ia bukan alasan untuk anda mengulangi kesalahan yang sama. Belajar daripada kesilapan lepas sebagai panduan untuk kehidupan akan datang.
f) Cuba dapatkan bantuan : Sekiranya emosi anda sukar untuk dikawal dengan baik, sila dapatkan bantuan daripada perunding cara atau kaunselor. Mungkin kaedah terapi yang akan dijalankan dapat membantu anda untuk berdamai dengan kisah silam yang menyakitkan.
Ingatlah bahawa hidayah itu perlu dicari, dipelajari dan difahami. Belum terlambat untuk anda melakukan perubahan. Teruskan melangkah dan yakinlah setiap langkah itu adalah satu perjuangan untuk anda menuju kesyurgaNya kelak.