PETALING JAYA: Kejayaan dan sejarah dicipta Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kancah bolasepak tempatan kemungkinan besar sukar diatasi oleh mana-mana kelab dalam Liga Malaysia (Liga M).
Melakar kejayaan ‘double quadruple’ merupakan pencapaian pertama pernah dicipta oleh sebuah kelab dalam saingan liga tempatan.
Malah, JDT juga terlebih dahulu memahat sejarah dalam bola sepak Asia dengan menjadi satu-satunya kelab dalam Asia Tenggara (ASEAN) menjulang Piala AFC dan kejayaan itu dilakar pada 2015.
Memiliki fasiliti serba lengkap bertaraf dunia, meletakkan JDT jauh kehadapan berbanding kelab-kelab dalam Liga Malaysia (Liga M).
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, tiada kelab yang mampu menjadi seperti JDT kerana hanya ada seorang individu bernama Tunku Mahkota Johor (TMJ).
“Daripada jaga rumput, falsafah bolasepak infrastruktur hingga celebration (sambutan).Tiada orang boleh buat apa kami/JDT buat dalam negara ini atau Asia sebagai sebuah kelab.
“Kejayaan sama-sama mengiringi permodenan dan inovasi. Sambutan kita adalah identiti kita menwakili konsep inilah JDT.
“Lain dari lain sentiasa meningkatkan kualiti dari setiap aspek. Tidak akan ada lagi kelab macam JDT dalam setiap aspek kerana ada satu sahaja TMJ,” tulis TMJ dalam media sosialnya.
Dalam pada itu, Tunku Ismail turut mendedikasikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang setiasa memberi sokongan kepada beliau sehingga berjaya mencapai kejayaan dan meletakkan JDT ditahap tertinggi ini.
A journey and legacy. In 2013 I started an Empire… the rest is history. pic.twitter.com/L97NRzEYO6
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) December 18, 2023
“Kepada keluargaku, terima kasih atas sokongan anda, dan kepada musuhku, jangan kau mencemburui atau membenci tetapi anda semua harus mengagumi kehebatan ini dan hargai sumbangan JDT kepada bolasepak tempatan,” tambahnya.-UTUSAN