KOTA KINABALU: Selepas setahun meraikan Krismas di sebalik tirai besi, sambutan Krismas tahun ini menjadi lebih bermakna buat Samuel, 47, yang dibebaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL), semalam.
Kesilapan terlibat dalam kes penipuan membuatkan bekas penjawat awam yang berasal dari Keningau itu meringkuk dalam penjara sejak Ogos tahun lalu.
Beliau berkata, akibat tersilap langkah menyebabkan perkhidmatan selama 30 tahun sebagai penjawat awam menjadi sia-sia.
“Jika masa boleh diulang semula, saya tidak akan sesekali menipu dalam pekerjaan yang dilakukan.
“Dengan pembebasan melalui PBSL ini, tiada lagi sambutan Krismas dibalik tirai besi. Sambutan Krismas tahun ini lebih bermakna sebab tahun lepas, saya tidak dapat raikan Krismas bersama keluarga di kampung.
“Memang gembira apabila dimaklumkan saya antara yang terpilih dalam program PBSL ini,” katanya ketika ditemui semasa program PBSL Ihsan Madani (kepulangan yang dinanti) sempena Krismas di Penjara Pusat Kota Kinabalu, semalam.
Samuel antara 28 orang banduan di seluruh Sabah yang dibebaskan melalui PBSL sempena perayaan Krismas pada tahun ini. Dia dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Bapa kepada tiga orang anak ini berkata, pengalaman meringkuk dalam penjara selama setahun ini akan menjadi pengajaran besar buat dirinya untuk tidak lagi terlibat dalam kes penipuan.
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sabah, Timbalan Komisioner Penjara, Nora Musa berharap lebih banyak pihak tampil membantu jabatan itu menyediakan tempat latihan bagi program pemulihan dalam komuniti.
Beliau berkata, ada penghuni penjara tidak diterima oleh keluarga dan mereka ini ditempatkan di rumah perantaraan sementara menunggu tempoh untuk dibebaskan.
“Kita latih penghuni dengan pelbagai kemahiran termasuk pertanian agar apabila mereka dibebaskan kelak, mereka mampu menjana pendapatan sendiri.
“Jadi, penglibatan agensi seperti Koperasi Pembangunan Desa (KPD) seperti dicadangkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang) amat diharapkan. Ia satu berita baik, KPD sebagai agensi kerajaan negeri boleh membantu anak-anak watan untuk menjana ekonomi bagi meneruskan kehidupan selepas dibebaskan,” katanya.
Setakat ini, Jabatan Penjara bekerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Labuan bagi tanaman sayur-sayuran dan perbincangan sedang dilakukan dengan LPP Tuaran untuk tujuan sama.
Sementara itu di PULAU PINANG, kematian ibu ketika sedang menjalani hukuman di Penjara Pulau Pinang merupakan antara perkara yang paling dikesalkan Orang Bebas Berlesen (OBB), Muhamad, 25, (bukan nama sebenar).
Muhamad yang dibebaskan semalam menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani berkata, dia hanya mendapat khabar mengenai ibunya yang meninggal dunia pada Ogos tahun ini menerusi panggilan video daripada ahli keluarga.
“Saya memang kesal ketika itu, namun tiada apa-apa yang boleh saya lakukan selain reda dengan apa yang berlaku.
“Saya bertekad tidak mahu lagi mengulangi kesalahan lama (kesalahan berkaitan dadah) dan mahu menjaga ayah yang sedang terlantar sakit akibat angin ahmar bersama adik selepas ini,” katanya ketika ditemui di Dewan Kelab Penjara Pulau Pinang, di sini semalam.
Muhamad antara 11 banduan di penjara berkenaan yang dibebaskan menerusi OBB di bawah program PBSL Ihsan Madani semalam dan dijemput adiknya sebelum pulang ke rumah keluarga mereka di Permatang Pauh, dekat sini.
Muhamad berkata, dia dikenakan hukuman penjara pada Mei lalu atas kesalahan berkaitan dadah dan sepatutnya dibebaskan pada 9 Januari tahun depan.
“Saya sangat berterima kasih kepada ahli keluarga dan tunang saya yang tidak jemu-jemu memberikan peluang dan menyokong saya.
“Malah, tunang saya turut datang berjumpa saya hari ini (semalam) selepas dibebaskan,” katanya. Tambahnya, dia akan bekerja di Batu Kawan sebagai pekerja landskap selepas ini dan berazam untuk tidak lagi terjebak dengan dadah.
“Sepanjang saya menjalani hukuman di penjara, program-program seperti ceramah agama, motivasi dan sebagainya amat menginsafkan saya,” katanya.
Dalam pada itu,Timbalan Penguasa Penjara Pulau Pinang, Awang Azizan Hasbi berkata, sejak Januari hingga Disember tahun ini, seramai 149 banduan dibebaskan menerusi program PBSL.
“Pihak kami berharap semua yang dibebaskan menghargai peluang ini sebaik-baiknya dan membina hidup baharu tanpa mengulangi kesalahan lama,” katanya. –UTUSAN