Terjerat cinta pucuk muda

Terjerat cinta pucuk muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI mengandaikan beruntung wanita berjodohan dengan lelaki lebih muda.

Bukan sahaja dapat mencuri sedikit awet muda daripada pasangan, bahkan ‘pucuk muda’ ini suka mencuba sesuatu yang baharu dan lebih bertenaga di ranjang berbanding seusia atau lebih tua.

Namun lain pula nasib Mina (bukan nama sebenar) yang bersuamikan lelaki, 15 tahun lebih muda daripadanya.

Manis hanya seketika cuma. Bahagia diharap, dukacita yang dapat.

Amran, (bukan nama sebenar), lelaki dambaan yang diharap menjaganya sehingga akhir hayat tidak kesampaian.

Ini kerana sepanjang dua tahun berumahtangga, tanggungjawab menjaga dan menguruskan keluarga dari A sehingga Z masih tetap tergalas di bahu Mina.

Rupa-rupanya, kematangan Amran sepanjang tempoh bercinta hanya lakonan semata-mata.

Setelah berkahwin, barulah sikap kebudak-budakannya yang sebenar ditunjukkan.

Dia mahu diberi layanan layaknya seperti kanak-kanak kehausan kasih sayang dan belaian manja.

Sejak kebelakangan ini juga, lelaki itu sering mengadu sakit itu, sakit ini dan sentiasa mahu diberi perhatian 24 jam.

Tanggungjawab Mina tidak hanya habis di rumah menguruskan suami dan dua anak dengan arwah suaminya yang berusia 11 dan 15 tahun, bahkan terhadap pekerjaannya di sebuah syarikat perbankan di ibu negara.

Disebabkan itu jugalah timbul rasa kurang senang dan simpati di kalangan adik beradik terhadap nasib Mina.

“Saya tidak berniat memburukkan darah daging sendiri, tetapi lebih memberi pengajaran kepada wanita lain yang takdirnya hampir sama dengan kakak saya.

“Ada sebab kenapa keluarga sebelum ini tidak merestui. Oleh kerana itu fikirlah semasak-masak
sebelum membuat keputusan besar dalam hidup,” tulisnya dalam kiriman emel kepada saya.

Tulis Ainol, sejujurnya dia dan tiga lagi adik-adik bersimpati dengan nasib yang dilalui kakak mereka.
Pun begitu, kehidupan yang terpaksa dilalui adalah pilihan kakaknya sendiri.

Kata Ainol, sepanjang dua tahun berumahtangga dengan lelaki itu, kehidupan kakaknya bukan semakin baik, bahkan semakin teruk.

Dia terpaksa menanggung ‘biawak hidup’ kerana suaminya tidak bekerja dan mengharap wang ibu bapa.

Bercerita lanjut mengenai hubungan Mina dengan Amran, tulis Ainol semuanya bermula apabila kakaknya bertemu dengan lelaki berusia awal 30an itu pada penghujung Disember 2019 dalam satu majlis.

Kata Ainol, pada mulanya mereka hanya berkawan tetapi selepas itu mula bercinta walaupun menyedari jarak umur berbeza.

Amran dikatakan jatuh cinta pandang pertama dengan Mina apabila mengetahui ketabahannya membesarkan empat anak selepas kematian suami sejak lima tahun lalu.

Hampir dua bulan mereka menyulam cinta. Sepengetahuan Ainol, awalnya kedua ibu bapa Amran tidak boleh menerima hakikat bahawa anak lelaki mereka bakal mengahwini wanita yang lebih berumur dan pernah berkeluarga.

Namun, disebabkan Amran satu-satunya anak tunggal keluarga, mereka terpaksa akur.

“Walaupun ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hubungan mereka tetap diteruskan dan kerap berhubung menerusi WhatsApp sebelum masing-masing sepakat disatukan dengan ikatan sah,” tulis Ainol.

Kata Ainol, semasa Amran dibawa bertemu keluarga, mereka tidak bersetuju dengan pilihan kakak.

Kata Ainol, kakaknya layak mendapat lelaki lebih baik daripada Amran.

Walaupun lelaki itu datangnya daripada keluarga kaya, ia bukan jaminan kebahagiaan yang dicari.

Bukan mahu memuji kakak sendiri, tetapi kata Ainol Mina memiliki semua ciri idaman lelaki.

Bertubuh kecil molek, cantik, berkulit kuning langsat, Mina juga stabil dari segi kerjaya.

Kakak merupakan anak sulung daripada empat beradik.

“Selepas kematian ibu ayah, kakaklah tempat rujukan kami, dan ketika kakak diuji kehilangan suami, kami sama-sama memberi semangat dan sokongan padanya.

“Hubungan kami adik beradik sangat rapat sehinggalah dia bertemu dengan Amran,” tulis Ainol lagi.
Sikapnya berubah selepas adik-adik tidak bersetuju dengan pilihannya untuk menjadikan Amran sebagai suami.

Kakak mula menjauhkan diri. Langsung tidak bertanya khabar, sehinggalah mereka mendapat berita bahawa kakak telah berkahwin berwali hakim dengan lelaki itu ketika dalam PKP.

Kata Ainol, walaupun terkilan dengan tindakan kakak, mereka adik-beradik tetap mendoakan yang terbaik untuk darah daging sendiri.

Tulis Ainol, hanya pada awal tahun ini kakak muncul dan kembali menyertai acara anjuran keluarga.

Namun hubungan mereka adik-beradik dan kakak tidak seakrab dahulu.

Kata Ainol, berdasarkan pandangan mata kakak, ada sesuatu disembunyikan.

Namun kakak tidak pernah menceritakan apa-apa masalah yang ditanggung selama hidup berumahtangga dengan suami baru.

“Jika sebelum ini kakak tidak pernah meminjam wang daripada adik-beradik, kini hampir setiap bulan terputus wang.

“Kakak juga tidak seceria dahulu. Wajahnya seolah-olah kusut memikirkan sesuatu,” tulis Ainol lagi.

“Apapun kami sentiasa mendoakan yang baik-baik buat kakak. Itu ujian yang Allah berikan kepada kakak. InsyaAllah, kakak mampu melaluinya,” tulisnya lagi.

Sesungguhnya, manusia tidak terlepas dengan dugaan dan ujian kehidupan di dunia sementara ini.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran: Dan kami jadikan sebahagian kalian dugaan dan ujian bagi sebahagian yang lain.

Mahukah kamu bersabar?(Al-Furqan:20). Mana tidaknya, walaupun dalam melaksanakannya bukan
suatu yang mudah, tetapi kita mampu dan mencuba sedaya upaya untuk bersabar dan reda dengan keadaan yang telah ditakdirkan Allah, maka hati merasa lapang dan tenang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya