PENYELIDIK Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Ir. Dr. Mahidzal Dahari menemukan kaedah mesra alam untuk menyimpan gas hidrogen sebelum ditukarkan kepada tenaga elektrik.
Idea itu timbul ketika beliau melakukan kajian doktor falsafah dalam bidang kecekapan tenaga sistem kawalan Stesen Pengisian Gas Asli Natural Gas Vehicle (NGV) milik Petronas.
Katanya, melalui teknologi itu, gas hidrogen disimpan di dalam tangki silinder pada tekanan 30 bar yang telah diisi dengan logam aloi pada suhu bilik.
“Jika 2.5 kilogram (kg) logam aloi digunakan, lebih kurang 30 gram gas hidrogen dapat disimpan. Jika tangki silinder 0.6 liter digunakan untuk menyimpan aloi tersebut, maka jumlah berat tangki menjadi 3.5 kg.
“Dengan penggunaan saiz tangki tersebut, ia dapat menjana kuasa elektrik sebanyak 100W selama 30 jam penggunaan,” ujarnya sambil memberitahu jika penggunaan elektrik besar maka lebih banyak logam aloi diperlukan untuk menyimpan gas hidrogen.
Mahidzal yang juga pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan berkata, tangki kosong boleh diisi semula seperti fungsi gas memasak.
Katanya, kaedah tersebut dinamakan sebagai sistem penyimpanan hidrogen hidrida logam.
“Hidrida logam ialah bahan pepejal yang boleh menyerap dan membebaskan gas hidrogen melalui tindak balas kimia boleh balik,” katanya.
LEBIH SELAMAT
Sistem penyimpanan hidrida logam menawarkan kelebihan keselamatan kerana beroperasi pada tekanan rendah.
Ia dapat mengurangkan risiko letupan atau kebocoran, menjadikan sistem hidrida logam sesuai untuk pelbagai aplikasi.
“Hidrida logam beroperasi pada suhu lebih mudah dikawal, memudahkan proses pengendalian, mengurangkan penggunaan tenaga dan meminimumkan kerumitan logistik.
“Kemudahan pengendalian ini menjadikan hidrida logam sangat praktikal sebagai penyelesaian penyimpanan hidrogen.
“Kaedah ini turut membolehkan pengisian bahan api yang cekap dan selamat untuk kenderaan sel bahan api, seterusnya menggalakkan penggunaan dalam sektor pengangkutan,” jelasnya.
Simpanan hidrogen hidrida logam menawarkan alternatif lebih hijau, jimat dan selamat berbanding cara sedia ada seperti tangki silinder bertekanan tinggi atau menyimpan gas hidrogen dalam bentuk cecair.
Kedua-dua kaedah sedia ada itu berintensifkan tenaga iaitu sejumlah tenaga yang banyak diperlukan untuk menyimpan gas hidrogen.
Sementara itu, Pengarah Urusan Energise, Syed Faisal Algadrie berkata, syarikatnya memberi perkhidmatan penyelesaian bagi penghasilan hidrogen dan sistem penyimpanan secara logam hidrida.
Menurutnya, syarikatnya telah menandatangani Perjanjian Lesen Teknologi dengan UM agar sistem itu dipatenkan.
Katanya, sistem penyimpanan hidrida logam itu membolehkan penyimpanan hidrogen yang bersih, selamat, cekap dan mesra alam.
“Kami adalah pakar dalam pengeluaran hidrogen hijau dengan penyelesaian penyimpanan hidrogen hidrida logam, advanced biofuel, biochar dan tenaga elektrik boleh diperbaharui,” tambahnya.
Beliau melihat industri sekarang dari sudut mikro memandangkan permintaan yang sangat banyak diterima, sekali gus memberi idea kepadanya untuk membuka kilang di beberapa negeri di Malaysia.