DILAHIRKAN dengan tangan bergetar menyebabkan graduan undang-undang Universiti Utara
Malaysia (UUM) ini tidak boleh memegang barangan kecil termasuk pensil atau pen.
Seumur hidupnya, Muhammad Amirul Asyraf Md. Asri, 31, tidak pernah merasai pengalaman menulis
seperti insan lain.
Malah anak kelahiran Lahad Datu, Sabah ini, nyaris dihalang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) satu ketika dulu gara-gara kekurangan itu.
Sebagai pesakit Dystonia Cerebral Palsy, anak sulung daripada lima beradik ini turut berdepan masalah
pergerakan dan pertuturan.
Namun cabaran itu tidak melemahkan semangat juangnya untuk menuntut ilmu hingga berjaya meraih
segulung ijazah dalam majlis konvokesyen baru-baru ini.
Video memaparkan dirinya menerima ijazah selepas tujuh tahun bertungkus-lumus belajar, tular dengan lebih dua juta tontonan.
Kisah ini menarik untuk diteliti oleh masyarakat kerana terdapat banyak pengajaran boleh diteladani.
Muhammad Amirul Asyraf lahir pada 8 Julai 1992, merupakan permata hati bekas pengarah kolej vokasional di Sabah, Md. Asri Alian, 62, dan Halipah Bachok, 56 (bekas jururawat).
Beliau satu-satunya dalam keluarga memiliki penyakit itu.
KAWAN KOMPUTER
Lantaran tidak boleh menulis, Muhammad Amirul Asyraf terpaksa menggunakan komputer sejak sekolah rendah.
Perjalanannya menuntut ilmu bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar II Tawau dan SK Pekan Lahad Datu sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segama dan SMK Madai Kunak.
Beliau menyambung pelajaran dalam jurusan Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi
MARA (UiTM) Cawangan Kota Kinabalu dan tamat pada 2014.
Cita-cita dalam bidang guaman mendorongnya berhijrah ke UUM.
Graduan orang kurang upaya (OKU) ini kini bergelar peguam, menjalani latihan dalam kamar di sebuah firma guaman di Lahad Datu.
Beliau sebelum ini mendaftarkan diri di UUM pada 19 September 2016 dan tamat pengajian November lalu.
MC, RAKAN SUAP
Sepanjang pengajian di UUM, beberapa kali Muhammad Amirul Asyraf terpaksa mengambil cuti
akibat masalah kesihatannya.
Tempoh sukar itu bermula dari 2018 terutama apabila pengajian dilakukan secara dalam talian akibat Covid-19.
Namun, kawan-kawan sekelas dan seasrama banyak membantu meringankan bebannya, termasuk
menyuapkan makan serta minum.
Kegagalan memegang menyebabkan dia tidak boleh makan secara sendiri, malah membutangkan baju atau memandu.
KORBAN KASIH
Bagi memastikan kesihatan Muhammad Amirul Asyraf sentiasa terjaga, ibu bapanya sanggup berkorban
menemaninya belajar hingga ke UUM.
Halipah memutuskan bersara lebih awal dan melepaskan jawatannya di Hospital Queen Elizabeth.
Selama setahun suami isteri itu menemani anak sulung belajar dalam dua semester terakhir iaitu
dari Oktober 2022 hingga September 2023.
Sepanjang tempoh itu, tiga beranak berkenaan menyewa rumah di taman perumahan di Changlun dan berulang-alik menemani Muhammad Amirul Asyraf ke kampus.
Bukan itu sahaja adik keempatnya, yang merupakan lulusan diploma perakaunan turut berkorban menjaga adik bongsu yang masih bersekolah di rumah mereka di Sabah.
Remaja itu sanggup mengetepikan hasrat bekerja atau menyambung pengajian demi membantu keluarga.
Muhammad Amirul Asyraf mahu membuktikan kemampuannya sebagai peguam berjaya.
Semoga kisahnya menjadi inspirasi kepada golongan OKU di negara ini.
Di samping itu, mendorong pihak kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mewujudkan lebih bersifat mesra OKU. –UTUSAN