Sampel makanan punca keracunan di R&R diambil - Utusan Malaysia

Sampel makanan punca keracunan di R&R diambil

KASEMANI EMBONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengambil sampel makanan dari sebuah kedai di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman yang dipercayai menjadi punca seorang wanita mengalami keracunan makanan dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, sampel makanan itu diambil bagi mengenal pasti punca sebenar kes kematian yang didakwa mempunyai hubung kait dengan dengan isu tersebut.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman telah menjalankan siasatan termasuk mengambil sampel makanan dari premis terlibat.

“Beberapa sampel makanan serta swab peralatan dan pengendali makanan telah diambil untuk membantu siasatan dan pihak jabatan masih menunggu keputusan ujian makmal terhadap sampel-sampel ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, notifikasi berhubung kejadian menimpa wanita itu telah diterima PKD Kuala Nerus pada Selasa lalu dan siasatan telah dijalankan pada hari yang sama terhadap premis terbabit.

“PKD Kemaman telah menerima satu notifikasi kes keracunan makanan melibatkan seorang wanita berusia 54 tahun yang telah mengalami gejala keracunan makanan akibat memakan makanan yang telah dibeli di R&R berkenaan.

“Kes (wanita itu) mula mengalami gejala sakit perut, cirit birit dan muntah selepas memakan makanan yang dipercayai telah basi,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati terdapat beberapa kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan arahan pembetulan telah diberikan pada pemilik premis dan juga pengendali makanan di premis terbabit.

“Pihak jabatan memandang serius mengenai kes keracunan makanan dan menasihati pengendali makanan supaya sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual serta memastikan makanan disediakan bersih serta selamat bagi mengelak kes keracunan makanan.

“Orang ramai perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih dan mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya