PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya bakal menguji beberapa muka baharu bagi persiapan ke Piala Asia Qatar termasuk pemain Kuala Lumpur City, Romel Morales yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 26 Disember ini.
Penyerang yang menjadi pemain naturalisasi terkini negara itu antara empat muka baharu dipanggil pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.
Tiga lagi muka baharu terbabit adalah dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dan Syamer Kutty Abba serta pertahanan Selangor FC (SFC), Ahmad Khuzaimi Piee.
Secara keseluruhan, tiada perubahan drastik dilakukan Pan Gon untuk menghadapi kejohanan yang dijadualkan membuka tirai pada 12 Januari ini.
Jurulatih dari Korea Selatan itu mengekalkan seramai 22 daripada 25 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu.
Bermakna, tidak timbul lagi isu eksperimen dan Pan Gon telah menemui barisan terkuat untuk dibawa ke Qatar.
Barisan pemain sebelum ini sudahpun beraksi dalam dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan dan Chinese Taipei, bulan lalu.
Bagaimanapun Sharul Nazeem Zulpakar dan Azam Azmi Murad masing-masing tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan.
Sementara itu, 19 pemain diletakkan dalam senarai bersedia jika terdapat perubahan dalam senarai 26 pemain yang dipanggil.
Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan membuka kempen Piala Asia 2023 berdepan Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari sebelum menentang Bahrain di di Stadium Jassim Bin Hamad, 20 Januari dan Korea Selatan (25 Januari).