BARCELONA: Dua gol sumbangan Sergi Roberto pada babak kedua membantu kemenangan 3-2 Barcelona ke atas kelab tercorot Almeria pada aksi La Liga di Stadium Lluis Companys Olympic, awal pagi tadi.
Kemenangan itu turut menamatkan kemarau tiga aksi tanpa menang dalam semua pertandingan ketika mereka menuju bakal berehat sempena Krismas.
Barcelona, yang seri 1-1 di Valencia dan tewas 4-2 di laman sendiri kepada pendahulu Girona dalam dua perlawanan terakhir liga, melonjak ke tangga ketiga dengan 38 mata daripada 18 perlawanan.
Mereka ketinggalan enam mata di belakang Girona dan empat mata berbanding pasukan tangga kedua, Real Madrid, yang masing-masing bertandang ke Real Betis dan Alaves awal pagi esok.
Barcelona mendominasi babak pertama tetapi mensia-siakan majoriti 15 peluang yang dicipta – lima daripadanya tepat ke sasaran – dan perlawanan itu terikat ketika rehat selepas penyerang Almeria, Leo Baptistao memadamkan gol pembukaan Raphinha.
Raphinha meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-33 apabila menampan masuk bola muntah dari jarak dekat, selepas penjaga gol Almeria, Luis Maximiano menafikan tandukan pemain pertahanan Ronald Araujo.
Namun pelawat menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat apabila Baptistao menjaringkan gol menerusi sepakan lambung, gol yang pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid tetapi pengadil mengubah keputusannya selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Begitupun, Roberto kembali meletakkan Barca mendahului selepas sejam, menanduk masuk sepakan sudut sebelum Edgar Gonzalez menyamakan kedudukan sekali lagi buat Almeria dan kemudian Roberto memastikan gol kemenangan pada minit ke-83.
Pemain sayap berusia 31 tahun itu menyumbat dua gol buat kali pertama dalam kariernya bersama Barcelona dalam semua pertandingan, selepas beraksi lebih 350 perlawanan bersama kelab Catalunya itu.-AGENSI